Sabtu, September 01, 2018

ASTRO AWANI JEMPUT HALIMEY BUKAN UNTUK BERDEBAT TAPI BUAL BICARA

SHAH ALAM, 1 Sept (Bernama) -- Stesen televisyen swasta, Astro Awani menjelaskan bahawa program yang dirancang untuk menemukan dua calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bukanlah berkonsepkan debat tetapi bual bicara.

Pengarang kanannya, Ashwad Ismail berkata timbul salah faham apabila tular di media sosial menyatakan calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar menarik diri apabila diajak bersemuka dengan pihak lawannya dalam program itu.

Katanya, disebabkan Halimey memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir, maka program itu pada Rabu lepas diteruskan dengan calon PAS, Dr Halimah Ali sebagai tetamu tunggal.

Bagaimanapun, calon PH itu pula, menurut Ashwad, telah dijemput ke program yang sama pada Isnin ini, namun masih menantikan pengesahan kehadiran.

"Tiada isu dalam hal ini. Program bual bicara (Agenda Awani) adalah medan meraikan ilmu dan kepelbagaian idea.

?"Dalam konteks ini, idea-idea calon itu yang penting untuk warga Seri Setia dan bukannya pertentangan politik semata-mata," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.