PETALING JAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS.
Ia melibatkan calon PH bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46, dan calon PAS, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.
Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain membuat pengumuman itu pada pukul 10.37 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, hari ini.
Mohd Azizi berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada calon PH pada pukul 9.10 pagi, manakala daripada calon PAS, pukul 9.15 pagi.
Proses penamaan calon yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.
Sementara itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 Sept ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan MCA.
PH yang buat pertama kali menggunakan logonya menampilkan pemimpin muda wanita daripada parti gabungannya DAP Wong Siew Ki manakala MCA mempertaruhkan ahli perniagaan Tan Chee Teong.
Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalanraya 20 Julai lepas.
Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Balakong Datuk Rosli Othman kira-kira 10.30 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini.
Proses pencalonan yang berlangsung selama satu jam ditutup pada pukul 10 pagi.
Terdahulu, hampir 500 penyokong dari kedua-dua pihak telah berkumpul seawal 7.30 pagi di sekitar Pejabat Daerah Hulu Langat sebagai tanda sokongan terhadap calon masing-masing.
Rombongan PH yang diketuai Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Setiausaha Kebangsaan parti dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, mula bergerak ke pusat penamaan calon dari pusat operasinya yang terletak kira-kira 18 km dari sini.
Wong, 32, telah menyerahkan borang penamaan beliau pada pukul 9.13 pagi.
Pencalonan beliau dicadang oleh Pengerusi DAP Kajang Baru Sia Wei Shien dan disokong anggota DAP Lim Chin Yuan