Ahad, Ogos 12, 2018

AKAR UMBI TIDAK YAKIN DENGAN KERJASAMA UMNO-PAS DI SUNGAI KANDIS?

oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Pelbagai andaian, kesimpulan dan persepsi yang boleh dinyatakan ekoran daripada kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mendapat 15,427 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon Bebas, K Murthy (97 undi) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis yang berlangsung baru-baru ini.

Mungkin apa yang lebih menarik perhatian para pemerhati politik ialah berhubung dengan kerjasama antara UMNO dan PAS. Adakah ini merupakan satu permulaan ke arah kerjasama yang lebih padu pada masa depan?Dan adakah ahli-ahli PAS mahupun UMNO yang bersetuju dengan kerjasama ini.

Alasan yang diberikan oleh para pemimpin tertinggi ke dua-dua parti ini ialah hanya gabungan PAS dan UMNO sahaja yang menjamin keutuhan masa depan Islam dan Melayu di negara ini yang dikatakan semakin tercabar di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah menjelaskan bahawa persefahaman antara dua parti ini memberi makna yang mendalam serta pengertian yang besar kepada politik tanah air.Ini disebabkan UMNO dan PAS masih merupakan dua parti Melayu yang terbesar di negara kita.

“Saya sudah berjumpa (pemimpin PAS) tiga ke empat kali dan akhirnya mereka melafazkan untuk pertama kali selepas 60 tahun bermusuh bahawa wajib untuk ahli PAS tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dan menyokong UMNO di Sungai Kandis. Ini adalah petanda.”

Melalui PRU 14 yang lalu, UMNO telah diperingatkan supaya lebih matang berkempen dan antara isu yang hangat dibincangkan ialah jangan bermain dengan sentimen bangsa dan ugama. Namun pengajaran ini tidak diendahkan apabila masih ada pemimpin UMNO yang lantang bersuara menggunakan elemen ugama untuk menyedarkan masyarakat Melayu dan Islam yang mereka di dalam keadaan yang sangat bahaya.

Para pengundi di negara kita sudah matang dan mereka boleh menerima jika UMNO berkempen berdasarkan pada isu-isu semasa yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka.Isu seperti harga barang yang masih naik serta menagih janji-janji Pakatan Harapan merupakan isu yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian pengundi dan bukannya “menakut nakutkan” pengundi dengan membesarkan sentimen agama dan bangsa.

Jika UMNO dan BN kekal dengan menggunakan isu perkauman serta agama dalam kempen pilihan raya, nescaya parti ini akan terus ditolak pengundi kerana mereka kini berfikiran lebih matang dan lebih rasional . Apatah lagi para pengundi hari ini sudah terdedah kepada maklumat alternatif di media sosial.

Mungkin masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian adakah gabungan UMNO dan PAS akan berjaya dan seterusnya memberikan cabaran yang lebih hebat semasa PRU ke 15 nanti. Ini disebabkan masih ada lagi golongan akar umbi dari kedua-dua pihak yang masih tidak yakin akan kerjasama antara kedua parti ini akan memberikan manfaat kepada perjuangan parti.

Masih ada ahli UMNO yang mahu UMNO berjuang tanpa bantuan dari mana-mana pihak. Golongan ini masih yakin yang UMNO masih merupakan parti Melayu yang paling berpengaruh dan adalah sesuatu yang mencemar kehebatan UMNO apabila terpaksa menagih bantuan dengan parti lain demi memastikan agar UMNO sentiasa relevan dan disokong.

Begitu juga denga ahli-ahli PAS yang tiba-tiba diminta menyokong sebuah parti yang selama ini dicop sebagai musuh politik yang utama. Bayangkan setelah berpuluh tahun ditanam di benak minda mereka bahawa UMNO adalah musuh, tiba-tiba diberitahu yang UMNO adalah kawan yang perlu dibantu dan disokong 100 peratus.

Adakah dengan memberikan alasan bahawa kerjasama ini adalah penting demi mengembalikan kuasa politik umat Islam , sudah cukup untuk membuatkan ahli-ahli UMNO dan PAS yakin yang mereka perlu bekerjasama pada beberapa pilihan raya akan datang?

Tidak semudah itu kerana jika alasan ini tidak digunakan dengan sebaik-baiknya dan digunakan secara keterlaluan, maka ini ini akan memberikan kemudaratan kepada kedua-dua belah parti. Perlu diingatkan bahawa isu seperti ini tidak akan laku bagi para pengundi di kawasan bandar serta mereka yang tinggal di pantai barat semenanjung. Para pengundi muda hari ini tidak mudah disogok hanya dengan memainkan isu bangsa dan agama.

Itu sebabnya pendekatan yang lebih strategik perlu dilaksanakan oleh UMNO dan PAS untuk menarik minat para pengundi yang hari ini yang lebih matang dan berfikiran lebih analitikal dalam membincangkan sesuatu isu itu.