KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin mencadangkan supaya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Biro Pindaan Perlembagaan Umno.
Katanya, sebagai bekas peguam Khaled layak mengetuai biro tersebut daripada mengetuai Umno Negeri Perlis.
"Beliau pernah memimpin Umno Johor yang ada 25 bahagian. Jadi beliau tidak layak mengetuai Umno Perlis yang ada tiga bahagian. Seolah-olah turun pangkat pula," kata Zahidi yang juga ahli parlimen Padang Besar ketika ditemui di parlimen petang tadi.
Katanya, Khaled layak mengetuai biro pindaan perlembagaan Umno supaya Umno mengadakan pemilihan Umno setiap lima tahun sekali selepas PRU dan bukannya tiga tahun sekali seperti sekarang.
"Pemilihan Umno hendaklah diadakan selepas PRU supaya parti tidak berpecah. Oleh itu perlembagaan Umno perlu dipinda. Maka Khaled sebagai peguam yang berpengalaman lebih layak menjaga biro ini daripada menjaga negeri Perlis yang kecil," katanya sambil berkata Umno Perlis akan menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatakan supaya Umno Perlis diketuai oleh anak tempatan dan bukannya orang luar.