Selasa, Julai 03, 2018

ISLAM BENARKAN PERKAHWINAN BELUM BALIGH TETAPI IA TIDAK DIGALAKKAN

KANGAR, 3 Julai (Bernama) -- Islam membenarkan perkahwinan lelaki dengan kanak-kanak perempuan belum baligh tetapi perbuatan itu tidak digalakkan, kata Anggota Majlis Fatwa Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Ahmad Jusoh.

Menurutnya perbuatan itu berdasarkan dua peristiwa yang berlaku semasa Nabi Muhammad SAW masih hidup.

Peristiwa pertama, Nabi Muhammad SAW sendiri berkahwin dengan Aisyah Abu Bakar semasa Aisyah baru berusia sembilan tahun dan kedua, Nabi Muhammad sendiri mengahwinkan Salamah dengan puteri bapa saudara baginda Hamzah, Umamah ketika Umamah belum baligh, katanya.

Ahmad berkata berdasarkan dua peristiwa itu jelas Islam tidak melarang seseorang lelaki berkahwin dengan kanak-kanak perempuan belum baligh tetapi ia tidak menggalakkannya kerana tidak memenuhi hikmah perkahwinan.

"Hikmah perkahwinan untuk memenuhi naluri seks tidak kesampaian jika berkahwin dengan kanak-kanak perempuan kerana hubungan seks tidak dibolehkan sehingga kanak-kanak berkenaan baligh," katanya kepada Bernama bagi mengulas tindakan seorang peraih getah berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Selatan Thailand pada 18 Jun lepas.