KUALA LUMPUR: Tidak sampai 12 jam selepas Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, bekas peguam negara itu kemudian menolak pelantikan berkenaan.
Mohamed Apandi sebelum ini berkata penolakan itu adalah kerana dia bimbang pelantikannya akan menimbulkan persepsi negatif yang akan dikaitkan dengan keputusan yang dibuatnya ketika menjadi peguam negara.
Menanggapi perkara itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan ia sebagai sesuatu yang memalukan.
"Pelantikan awal mengecewakan. Yang ini (penolakan pelantikan Mohamed Apandi) memalukan.
"Kita perlu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti," katanya melalui kenyataan di Twitter.
Khairy Jamaluddin sebelum ini menolak tawaran untuk menjadi setiausaha agung BN dengan alasan ingin menumpukan tugas sebagai anggota parlimen dan bebas bersuara.
Kenyataan terbaru Khairy Jamaluddin itu dilihat turut ditujukan kepada pemimpin tertinggi Umno.
Awal hari ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mohamed Apandi sebagai salah seorang daripada 11 yang dilantik menyertai 25 anggota MT Umno yang lain.
Bagaimanapun, beberapa pihak dilihat tidak senang dengan pelantikan Mohamed Apandi termasuklah Pemuda Umno Kedah.
Sebelum menolak pelantikannya, Mohamed Apandi dilapor berkata dia mempunyai hak untuk terlibat dalam politik kerana bukan lagi peguam negara.
Malah Apandi juga menyifatkan kepulangannya kepada Umno ibarat ikan pulang ke lubuk.
Ketika menjadi peguam negara, Mohamed Apandi membersihkan nama bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan SRC International.
Bekas perdana menteri itu kini berdepan dakwaan kes SRC International dan sedang disiasat.
Ulasan saya, semua pemimpin Umno bebas bersuara tetapi gunakanlah saluran parti untuk mengkritik Umno dan bukannya secara terbuka dalam media sosial seolah-olah menimbulkan persepsi bahawa pemimpin Umno tidak bersatu.
Fenomena ini amat memalukan ahli Umno dan ia jadi bahan ejekan kepada parti parti lain. Oleh itu pemimpin yang tidak puas hati whatsapp sahaja kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa perlu bersuara secara terbuka.
Dalam suasana Umno yang lemah sekarang, kita perlu minimumkan pertelagahan pendapat sesama sendiri. Ia bukanlah bermakna Umno mahu menyekat kebebasan bersuara tetapi ia perlu disuarakan melalui saluran yang betul.