Jumaat, Mei 11, 2018

UMNO KALAH MENJELANG HARI LAHIR YANG KE 72 TAHUN

KUALA LUMPUR: Hari ini 11 Mei genap ulangtahun Umno yang ke 72. Tiada sambutan seperti tahun sebelumnya kerana BN (Umno)  baru kalah mempertahankan kerajaan pusat yang dipegang selama 61 tahun sejak merdeka.

Umno tak pernah tewas di peringkat pusat. Dato Onn menubuhkan Parti Negara gagal menumbangkan Perikatan (Umno).  Tengku Razaleigh Hamzah melalui Parti Semangat 46 gagal menumbangkan BN (Umno) pada PRU 1990 dan 1995. Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Pakatan Rakyat gagal menumbangkan BN (Umno) pada PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013. Tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN (Umno) pada PRU 9 Mei.

Betapa hebatnya Dr Mahathir kerana beliau adalah bekas Presiden Umno yang mampu mengalahkan BN di peringkat pusat. Mampukah BN atau Umno kembali berkuasa lima tahun lagi?  Ia mampu jika PH gagal melaksanakan manifesto yang dijanjikannya. Perlu diingat bahawa orang Umnolah yang kagum dengan aura Mahathir mengundi PH. Kalau orang lain mengetuai PH belum tentu orang Umno berpaling tadah.

Orang Umno marahi Datuk Seri Najib Tun Razak kerana isu GST, 1MDB, derma RM2.6 bilion dan isu kos sara hidup. Najib boleh membeli ketua bahagian tetapi beliau tak mampu menutup mulut 14 juta pengundi. Maka rakyat telah menghukum Najib dua harki lalu dengan mengundi PH.

Jika PH gagal mengotakan janjinya tidak mustahil orang umno ini kembali menyokong BN pada PRU 2023 dengan syarat BN berani berubah meletakkan calon yang bersih dan komited dengan rakyat.

Orang Umno bukan marahi Umno tetapi mereka marahi Najib. Sewajarlah Najib berundur dan memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerajui Umno pada pemilihan hujung tahun ini.

Rakyat sudah beri isyarat yang jelas kepada Najib supaya berundur. Belum pernah Umno tewas kerajaan pusat. Dr Mahathir bukannya mahu menubuhkan parti baru tetapi apabila Najib enggan meletakkan jawatan maka Dr Mahathir tiada pilihan mendedahkan skandal Najib kepada rakyat. Masa depan Umno bergantung kepada pemimpin baharu. Tapi agak perit untuk menumbangkan PH pada PRU akan datang kerana BN bukan lagi menguasai kerajaan pusat.