Jumaat, Mei 25, 2018

PELAN INDUK PELANCONGAN ISLAMIK UNTUK TINGKATKAN SEKTOR PELANCONGAN

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sedang menyiapkan pelan induk untuk menjadikan Terengganu hab pelancongan berciri Islamik, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya ia menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke Terengganu terutama dari Timur Tengah, China dan Barat.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri yang baharu tidak akan melakukan perubahan drastik terhadap apa-apa program pelancongan yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu malah ia akan ditambah baik.

"Sebelum ini ramai pelancong asing termasuk dari Timur Tengah dan negara-negara Barat datang ke negara ini tetapi tidak ramai dari kalangan mereka yang berkunjung ke Terengganu.

"Sedangkan jika mereka mahu melihat kebudayaan masyarakat Melayu Islam di sini, keindahan pantai, pulau-pulau kita yang menarik, Terengganu sepatutnya menjadi pilihan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama para penggiat industri pelancongan negeri di sini, malam tadi.