PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia tidak melakukan pemeriksaan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu sebelum berlepas ke Subang.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihak imigresen tidak melakukan pemeriksaan ke atas pemimpin pembangkang tersebut memandangkan beliau menaiki penerbangan domestik.
"Saya telah mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada Pengarah Imigresen Terengganu (Rahim Hanafi ) menyatakan ada penerbangan dari Kuala Terengganu ke Subang yang dinaiki Tun Mahathir namun tiada pemeriksaan dilakukan ke atas beliau kerana itu merupakan penerbangan domestik," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu ketika berceramah di Dengkil, Dr Mahathir mendakwa beliau diperiksa oleh pihak Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika berada di Terengganu sebelum terbang ke Subang.
"Saya baru balik dari Terengganu pagi tadi. Terengganu dalam Malaysia dan saya diperiksa oleh kastam dan imigresen. Kami tidak membawa apa apa dengan kami lagipun kami sudah berada dalam Malaysia," katanya.
Dr Mahathir sebelum ini mendakwa pesawat yang sepatutnya menerbangkan beliau dari Subang ke Langkawi baru-baru ini disabotaj namun dinafikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) hasil pemeriksaan menyeluruh.
-- BERNAMA