Isnin, Mei 14, 2018

KHAIRY BERGANDINGLAH DENGAN ZAHID DAN HISHAMUDDIN PULIHKAN UMNO

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sudah kalah di peringkat pusat maka semua pemimpin Umno yang masih dalam kapal Umno bermuhasabahlah. Cukuplah berebut jawatan. Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab dengan kekalahan tersebut sudah melepaskan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi BN pada 12 Mei lalu satu hari selepas Umno menyambut hari jadi yang ke 72.

Maka beri peluang kepada dua orang Naib Presiden Umno,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemudi Umno untuk menghadapi PRU akan datang. Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin hendaklah membantu mereka.

Dalam suasana Umno yang tenat tanpa kuasa mereka bertiga perlu bersatu membangunkan Umno. Khairy masih muda untuk memimpin Umno. Maka belajarlah dari Zahid dan Hishamuddin. Sepatutnya Khairy muhasabah kerana selaku ketua pemuda beliau gagal menarik undi orang muda untuk mengundi BN.

Macam macam beliau lakukan program pemuda tetapi kenapa pengundi muda tidak mengundi BN. BN menang di saluran pertama sahaja. Saluran tiga semuanya dimenangi PKR dan PAS. Maka Khairy jangan gopoh untuk melangkah ke depan untuk berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Pakatan Harapan (PH).

Bagaimana  Umno mahu  hidup tanpa kuasa kerajaan pusat?  Maka Umno mungkin menjual asset untuk berdepan dengan PRU akan datang. Hanya orang yang kuat iman sahaja akan kekal dengan Umno. Sebaliknya mereka yang cintakan kebendaan akan meninggalkan Umno. Khairy sepatutnya rasa terpukul kerana ketua penerangan pemudanya Jamawi Jaafar tiada semangat Umno terus meninggalkan Umno setelah kerajaan Warisan dibentuk di Sabah.

Umno tidak memerlukan ahli yang tidak setia. Mereka masuk Umno nak jadi calon, nak kejar projek. Bila tak dapat jadi calon, tak dapat projek mereka lompat parti. Biarlah mereka pergi kerana Umno tidak memerlukan orang seperti ini. Hanya orang yang komited dengan perjuangan akan kekal dalam Umno. Orang PAS berpuluh tahun membangkang tetap boleh hidup. Allah yang memberi rezeki.  Semangat orang PAS berjuang bukan kerana wang perlu diterapkan kepada semua ahli Umno.

Politik wanglah yang menghancurkan Umno. Tiada lagi keikhlasan menyertai Umno. Tidak seperti tahun 1946 ahli wanita Umno sanggup mendermakan gelang dan rantai emas untuk menghantar Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan. Ahli Umno perlu kembali ke semangat asal Umno.

Bila kalah Umno tak dapat lagi bersidang di sekolah kerana sekolah milik kerajaan pusat. Maka dalam masa lima tahun ahli Umno akan rasa perit. Tetapi percayalah jika semua ahli sabar dan bersatu tidak mustahil BN boleh tumbangkan semula PH pada PRU akan datang.

Yang mengundi PH adalah ahli-ahali Umno yang kecewa. Jika PH tidak menunaikan permintaan mereka, mereka akan kembali mmenyokong BN pada PRU akan datang. Jika PH gagal menunaikan manifesto mereka ahli Umno yang belot ini akan kembali mengundi BN pada tahun 2023. Oleh itu sabarlah.