Isnin, April 30, 2018

JUMAT PEMIMPIN TULEN WALAUPUN TIDAK DICALONKAN

KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris untuk terus setia dalam perjuangan Barisan Nasional (BN) sebagai pemimpin tulen dan sejati.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pendirian yang dizahirkan Jumat mengenai kesetiaannya kepada parti membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar dan bersedia menerima keputusan daripada pucuk pimpinan.

"Saya gembira kerana kesetiaannya untuk terus bersama BN malah akan menyokong perjuangan BN bagi memastikan kemenangan kerusi Parlimen Sepanggar kekal dalam genggaman BN.

"Beliau (Jumat) tahu perjuangan masih lagi panjang. Saya yakin dengan kerjasama kita mampu meneruskan (legasi) kepimpinannya di Sepanggar dalam membawa pembangunan di kawasan ini," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap pada majlis kenduri doa selamat dan Kupi-Kupi sempena PRU14 yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong di kediaman Jumat di sini, malam ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Salleh berkata perbincangan akan dibuat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selalu Presiden parti berhubung proses mengembalikan semula keanggotaan Jumat dalam UMNO.

Salleh berkata perkara itu telah pun dimaklumkan sendiri oleh perdana menteri kepada Jumat dan pihaknya akan membawa isu itu ke peringkat tertinggi parti.

"Bagaimanapun, perkara perlu mengikut prosedur-prosedur tertentu. Sebelum ini, beliau (Jumat) merayu keanggotaan kepada UMNO dikembalikan (reinstate) kerana beliau sendiri percaya bahawa BN dan UMNO adalah platform terbaik meneruskan perjuangannya kepada rakyat.

"Mengembalikan keanggotaannya adalah perlu kerana beliau telah menunjukkan kesetiaanya kepada parti," katanya.

Sementara itu, calon BN kerusi Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman melahirkan penghargaan dan terharu atas keikhlasan Jumat untuk membantu beliau dalam kempen sekali gus bersama-sama berjuang mempertahan Parlimen Sepanggar pada PRU14.

Pada PRU13, Jumat menang kerusi Parlimen Sepanggar dengan memperoleh majoriti 9,442 undi.

Pada PRU14 ini, Abdul Rahman yang mewakili BN-UMNO akan dicabar calon Warisan Mohd Azis Jamman, Jeffrey Kumin (SAPP) dan Robert Sopining (PCS) dalam persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.



-- BERNAMA