PORT DICKSON, 10 Mac (Bernama) -- Demonstrasi Keupayaan dan Pameran Ketenteraan yang diadakan sempena sambutan Hari Tentera Darat yang ke-85, merupakan platform terbaik untuk masyarakat lebih memahami peranan dan tugas warga Tentera Darat (TD).
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata program itu membolehkan masyarakat lebih menghargai anggota tentera, sekali gus mampu menarik minat golongan muda untuk bersama menyertai TD.
"Hari ini merupakan antara pengisian, iaitu kekuatan sebahagian anggota TD (dipamerkan untuk tontonan masyarakat)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta 5,000 pengunjung termasuk pelancong asing.
Program yang bermula pada 8 pagi itu turut mempamerkan demonstrasi pertarungan sebenar, misi menyelamatkan tebusan serta menawan musuh, persembahan helikopter jenis A109 LOH oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan ikhtiar hidup..