Khamis, Februari 22, 2018

PENGURUS DAN ISTERI DITAHAN REMAN KES RASUAH RM5.4 JUTA




CHUKAI, 22 Feb (Bernama) -- Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan negeri dan isterinya direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah melibatkan kira-kira RM5.4 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Badrul Munir Mohd Hamdy membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Semalam SPRM menahan suspek berumur 59 tahun itu bersama isteri, 52, dua anak mereka masing-masing berumur 31 dan 34, menantu, 34, dan dua proksi di Kemaman dan ibu negara bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukannya memberi projek dan kontrak kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara 2010 hingga 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Sementara itu di Putrajaya, anak lelaki kepada pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu dan seorang individu yang dipercayai berperanan sebagai proksi direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai kira-kira RM5.4 juta.

Majistret Aida Khairuddin mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap dua lelaki berusia 30-an di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bermula hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan.

Semalam SPRM menahan seorang pengurus pembangunan perniagaan bersama empat anggota keluarganya serta dua individu yang dipercayai berperanan sebagai proksi dalam satu operasi khas di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur berkaitan siasatan penyalahgunaan kuasa dan kes rasuah membabitkan nilai RM5.4 juta.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukannya memberi projek dan kontrak kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara 2010 hingga 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.