Selasa, Januari 09, 2018

PENGUMUMAN PAKATAN HARAPAN TIDAK MEMERANJATKAN

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pengumuman Pakatan Harapan berhubung calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya ia berkuasa memberi isyarat jelas kepada anggota pakatan itu bahawa sesiapa sahaja boleh dijadikan alat dan disisihkan dalam Percaturan Kuasa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pengumuman siapa yang akan menyandang dua jawatan itu sekiranya pakatan berkenaan memenangi pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14) juga mencetuskan 'keadaan yang agak kecoh' kerana beberapa sebab.

"Pertama, semua orang tahu Pakatan tidak ada pilihan, selain menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad (pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebagai bakal pardana menteri mereka.

"Menamakan orang lain akan membawa padah kerana Pakatan boleh berkecai dalam masa 24 jam sahaja akibatnya. Maka, jadilah seperti kata orang 'bukankah saya dah nyatakan begitu kepada anda," kata Salleh melalui catatan dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Salleh berkata pembangkang juga tidak mempunyai pilihan, selain menamakan presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai bakal timbalan perdana menteri mereka dan sama jugalah, menamakan orang lain untuk jawatan itu umpama 'membunuh diri'.

"Tetapi, tentulah ada pemimpin penting lain yang telah banyak berkorban, termasuk melepaskan jawatan menteri dan jawatan dalam parti.

"Mengapakah nama-nama ini tidak dipertimbang, sebaliknya diketepikan?" tanya Salleh.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan Dr Mahathir sebagai calonya untuk menjadi perdana menteri dan Dr Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14.

-- BERNAMA