Isnin, Januari 01, 2018

NAJIB LETAKKAN MALAYSIA LEBIH KUKUH DALAM PETA ANTARABANGSA

KOTA KINABALU:  Misi diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih kukuh dan lebih baik dalam peta antarabangsa.

Menurut ahli jawatankuasa Umno Bahagian Semporna, Datuk Basali Abdul Hamid, lawatan diplomatik Najib telah menaikkan imej  negara dan peluang perniagaan untuk Malaysia.

"Pada masa yang sama ia juga mewujudkan perniagaan yang lebih kompetitif dengan negara asing dalam mempastikan Malaysia kekal bersaing dalam perdagangan antarabangsa," katanya.

Beliau yang juga bekas ADUN Bugaya menambah peranan Malaysia dalam OIC serta lawatan ke Turki, India, China, Sri Langka, Maldives, Amerika Syarikat, United Kingdom membuktikan bahawa Malaysia adalah rakan kongsi yang kuat dalam perdagangan antarabangsa  selain dari mengukuhkan hubungan diplomatik.

Katanya, hasil dari lawatan ke negara negara tersebut, Perdana Menteri telah membawa masuk lebih ramai pelabur asing ke dalam negara.

"Di antara pelaburan yang berkesan adalah dalam industri pembuatan kereta Proton, mengeksport durian ke China, eksport minyak sawit,  Tun Razak Exchange dan projek ECRL," katanya lagi.

Katanya lagi, kemasukan pelaburan asing menunjukkan keyakinan orang luar terhadap kestabilan politik  dan ekonomi negara kita.

Beliau menambah dengan kepimpinan bergaya Najib, Bank Dunia dalam laporan terbaru meramalkan Malaysia dapat mencapai status pendapatan tinggi lebih awal dari tahun 2020.

"Usaha berterusan Najib untuk transformasi  negara dengan pelbagai program dan dasar akan menguntungkan semua orang," ujarnya.

Katanya, rakyat Malaysia wajar faham dan sedar  bahawa langkah pembetulan yang diambil oleh kerajaan adalah untuk mempastikan ekonomi dan perdagangan antarabangsa adalah  selari dengan ekonomi negara negara lain.