Selasa, Januari 16, 2018

BERSAMA PESARA POLIS DI SEPIRING



KUALA LUMPUR: Sejak saya perkenalkan Sepiring Cafe (Sepiring ) dalam blog ini tahun lepas maka Sepiring yang berada di Sunway Putra Mall berhampiran Putra World Trade Centre (PWTC) semakin popular. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah bersembang dengan para blogger di Sepiring pada tahun lepas.


Sepiring sudah jadi tempat lepak orang politik. Sudah lama saya tidak lepak di Sepiring. Semalam dengan beberapa orang rakan berpeluang lepak di situ. Semua meja penuh dengan orang yang saya tidak kenali. Rupa-rupanya mereka adalah pesara polis yang baru habis menghadiri program bersama PM di PWTC.


Saya terdengar mereka berbual di meja sebelah betapa seronoknya mereka mendengar pengumuman PM yang meliputi empat perkara yang memberi manfaat kepada kira-kira 123,000 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Najib berkata kerajaan akan memperuntukkan RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis setiap tahun selama tempoh tiga tahun bagi membantu kebajikan pesara dan keluarga mereka, memperuntukkan kuota khas haji, sebahagian daripada10,000 unit skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)-PDRM akan dikhaskan kepada pesara polis dan kemudahan penyaluran bantuan kepada mereka menerusi Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis.

Bilangan kuota khas haji untuk pesara polis itu akan umumkan perdana menteri selepas kerajaan mendapat jumlah kuota keseluruhan daripada kerajaan Arab Saudi.


"Selepas itu saya akan beritahu timbalan perdana menteri dan ketua polis negara berapa jumlah untuk dikhaskan kepada pesara-pesara," kata Naib ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan lebih 5,000 pesara polis di PWTC di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Najib berkata Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis akan disusun semula dan cawanganya akan dibuka di setiap negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada pesara polis.

"Kesemua ini bukanlah nilai kepada perjuangan pesara kerana sumbangan anda tidak ternilai dalam menjaga agama, bangsa dan negara," katanya.

Najib turut meminta Ketua Polis Negara mengenal pasti pesara yang tertinggal daripada mendapat pengiktirafan atas jasa yang dilakukan selama ini.

"Bukanlah mereka berjuang kerana nak pingat, tetapi mereka inginkan pengiktirafan daripada negara," katanya.


Saya terdengar mereka berhujah apa lagi pesara polis mahu. Sudah banyak PM beri kemudahan kepada mereka. Maka sepatutnya mereka berterima kasih dengan terus menyokong kerajaan pada PRU yang akan datang.


Rupa rupanya mereka minat juga berbincang hal politik apatah lagi mereka pesara Special Branch (SB). Dahulu mereka terpaksa turun padang menemui orang ramai untuk dapatkan info politik. Tetapi kini mereka bukan SB tetapi FB kerana merka mudah dapatkan info politik daripada  Facebook dan grup whatsapp.


Zaman mendapatkan info politik sudah berbeza. Cuma petik di hujung jari. Yang lucunya pesara polis turut membincangkan politik Selangor. Bagi mereka, selagi Tan Sri Noh Omar mengetuai Umno Selangor amat sukar BN menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.


Di Tanjung Karang nama Noh Omar amat popular tetapi apabila mereka jelajah seluruh Selangor daripada 10 orang yang ditemui, 15 orang rakyat Selangor tidak mahu nama Noh Omar mengetuai Umno Selangor. Menurut pesara polis tadi, rakyat mahu bekas MB, Tan Sri Muhammad Md Taib mengepalai perang besar untuk menghadapi PRU akan datang.


Mat Taib ada aura untuk menawan Selangor berbanding Noh Omar. Noh Omar tidak ada idea untuk bangunkan Selangor. Noh Omar berjanji kalau BN rampas Selangor, semua rumah PPR akan diadakan taska. Bukan taska yang rakyat Selangor mahu tetapi mereka mahu kerajaan BN turunkan cukai pintu dan cukai tanah yang telah naik sejak Datuk Seri Azmin Ali menjadi MB.


Nampaknya walaupun mereka sudah bersara sebagai SB, pesara polis tetap minat mengikuti perkembangan politik Selangor. Sewajarlah PM buat perubahan di Badan Perhubungan Umno Selangor segera memandangkan pengalaman luas Mat Taib sebagai MB dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Amat rugi jika Umno Selangor tidak gunakan perkhidmatan Mat Taib yang pernah jadi Naib Presiden Umno dan Ketua Penerangan Umno Malaysia.