Jumaat, Disember 01, 2017

SPRM TAHAN ANAK SAUDARA MB SELANGOR

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membekukan akaun syarikat bernilai RM4 juta susulan penahanan tiga individu dipercayai terlibat dengan aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Menurut sumber SPRM, mereka yang ditahan petang tadi ialah dua pengarah syarikat melombong pasir bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.

'Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap aktiviti perlombongan pasir dan batu secara haram di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014,' katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

"Pasukan penyiasat memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi dilancarkan 10 pagi tadi dan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta dibekukan. Kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk direman bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.