Jumaat, Disember 29, 2017

RAMAI KETUA PEMUDA BAHAGIAN JADI CALON?

KUALA LUMPUR: Enam Ketua Pemuda Umno Melaka berpotensi diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU 14) bagi mengisi kekosongan wakil rakyat yang berikrar untuk tidak dipilih semula ataupun bakal dicicirkan oleh pucuk pimpinan parti peringkat negeri dan Pusat.




Ketua-ketua Pemuda yang dimaksudkan ialah Hameed M.K Basheer (Masjid Tanah) Rohazam Bakar (Bukit Katil) Datuk Zali Yaafar (Tangga Batu) Khairul Nizam (Alor Gajah) Datuk Abdul Razak Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Zaidi Atan (Jasin).




Hameed dikatakan bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Rohazam di Ayer Molek, Datuk Zali di Paya Rumput, Khairul Nizam di Rembia, Datuk Abdul Razak di Telok Mas dan Datuk Zaidi di Rim.




DUN Ayer Limau pada masa ini di wakili oleh Datuk Amiruddin Yusof, Ayer Molek oleh Datuk Md Yunos Husin, Paya Rumput (Sazali Muhd. Din) Rembia (Datuk Norpipah Abdol) Telok Mas (Datuk Latif Tamby Chik) dan Rim (Datuk Ghazale Mohamad).




Kecuali Datuk Amiruddin yang baru sepenggal di Ayer Limau, lima lagi ADUN sudahpun berkhidmat melebihi dua penggal.




Menurut sumber, seandainya Hameed diketengahkan pada kali ini, ini merupakan kali pertama Ketua Pemuda Masjid Tanah mencipta sejarah setelah Masjid Tanah diberikan status Bahagian baru Umno.




Ini adalah kerana sejak 30 tahun lepas belum ada lagi nama Ketua Pemuda bahagian berkenaan diberi peluang menjadi calon dalam mana-mana kawasan dalam Masjid Tanah.




Kali terakhir Ketua Pemuda (masa itu Bahagian Alor Gajah) diberi amanah adalah Datuk Ibrahim Jendol. Beliau menjadi Ahli Parlimen Alor Gajah pada tahun 1990-an.




Menurut sumber itu lagi, berkemungkinan besar Hameed bakal diketengahkan oleh pucuk pimpinan negeri bagi mewakili DUN Ayer Limau memandangkan penglibatan Pensyarah MRSM itu secara total di kawasan tersebut.




Tambahnya lagi, Hameed amat disenangi oleh Ketua Bahagian serta Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Haron dan para pengundi di DUN berkenaan. Banyak program-program peringkat negeri dan daerah diketengahkan beliau di kawasan itu memandangkan jiwanya amat dekat penduduk setempat.