KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Beberapa anggota parlimen mencadangkan penyertaan golongan wanita sebagai pembuat keputusan termasuk wakil rakyat ditingkatkan kepada 30 peratus sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasa golongan itu.
Datuk Norah Abd Rahman (BN-Tanjong Manis) berkata langkah itu juga sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita dengan mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keanggotaan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun, sebelum akhir tahun.
Katanya sasaran 30 peratus itu juga perlu diaplikasikan di Parlimen memandangkan ketika ini badan penggubal undang-undang tersebut hanya diwakili 10.81 peratus anggota parlimen wanita.
"Jika dibandingkan dengan anggota parlimen negara lain di Asia Tenggara, di Timor Leste terdapat 38.5 peratus anggota parlimen wanita, Laos (25 peratus), Vietnam (24.4 peratus), Singapura (24.2 peratus) dan Filipina (22.9 peratus). Jadi saya memohon supaya wanita diberi pertimbangan khas pada pilihan raya umum akan datang,"katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, perkara itu turut diutarakan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang mencadangkan peratusan yang sama disasarkan untuk wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri.