Isnin, Oktober 30, 2017

MDPM CADANG ANUGERAH DITARIKBALIK JIKA TERLIBAT DALAM JENAYAH

PETALING JAYA, 29 Okt (Bernama) -- Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) mencadangkan agar anugerah dan darjah kebesaran individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah ditarik balik.

Presiden MDPM Tan Sri Danny Ooi berkata ini berikutan gelaran yang diberikan adalah satu penghormatan dan mereka sepatutnya tidak mencemari pengiktirafan itu dengan mana-mana insiden tidak diingini.

Beliau mengulas insiden tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang mendakwa cedera selepas dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri' ketika sedang bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang di sini pada Jumaat.

"Kami perlu hormat mereka yang beruniform. Tarik balik gelaran itu walau apa jua alasan, tidak kira Datuk atau Datuk Seri.

"Bagaimanapun, individu berkenaan bukan anggota MDPM. Anggota majlis ini dianugerah Panglima Jasa Negara (PJN) dan Panglima Setia Diraja (PSD),"katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun ke-15 MDPM di Hotel One World, di sini, malam ini.