Rabu, Oktober 18, 2017

MAHATHIR HINA KETURUNAN BUGIS



KUALA LUMPUR 17 Okt. - Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai keturunan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam himpunan haram anjuran Pakatan Harapan baru-baru ini dilihat hanya merendahkan ilmu pengetahuan bekas Perdana Menteri itu yang membawa kepada keruntuhan sifat beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa.


Penasihat Persatuan Melayu Bugis Selangor Daerah Sepang, Prof. Datuk Dr. Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah al-Haj berkata, Dr. Mahathir dalam hal ini bukan sahaja melakukan serangan peribadi ke atas Najib tetapi telah menghina masyarakat Bugis ke­seluruhannya.


“Apabila Dr. Mahathir menyebut dia (Najib) berasal dari lanun Bugis, entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia, pergi baliklah ke Bugis, itu adalah satu penghinaan kepada bangsa Bugis itu sendiri.

“Secara tidak lang­sung memperlihatkan Dr. Mahathir telah menjatuhkan kredibilitinya se­bagai se­orang pe­­mimpin yang unggul dan tokoh ne­garawan.

“Penghinaan ini tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh sama sekali mengaitkan kepimpinan atas faktor keturunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, Tengku Jamaluddin menyarankan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menarik balik ke­nyataan yang dibuat dan memperakui kesilapannya berhubung masyarakat Bugis.

Selain itu, beliau turut me­ngingatkan ahli-ahli politik di luar sana agar tidak sesekali mengeluarkan kenyataan yang melibatkan hal-ehwal keturunan seandainya tidak me­ngetahui sejarah pembentukan negeri-negeri Melayu di gugusan Tanah Melayu.

“Saya juga sebelum ini pernah menegur dan meminta Datuk Dr. Affifuddin Omar menarik balik kenyataan yang dibuat dan memohon maaf kepada seluruh masyarakat Bugis di atas keceluparan mulut dan keterlanjuran kata-katanya di dalam forum Mencari Pemimpin Baru Malaysia di Dewan Sivik MBPJ pada 23 Mei 2015,” katanya.