Rabu, Oktober 25, 2017

KERAJAAN TIDAK TUTUP 2,996 BUAH SEKOLAH KURANG MURID

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menutup Sekolah Kurang Murid (SKM) walaupun terpaksa membelanjakan RM2 bilion setahun untuk mengendalikan operasi 2,996 SKM yang terdapat di negara ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata berdasarkan analisis, kos pengoperasian SKM yang mempunyai murid 150 dan ke bawah adalah tinggi iaitu RM67,130.65 per murid setahun berbanding hanya RM5,321.84 per murid setahun untuk sekolah biasa.

Beliau berkata pihak kementerian masih perlu menghantar minimum tujuh hingga 11 guru ke SKM selain menampung kos-kos lain seperti tender pembersihan sekolah.

"Pada pandangan kementerian walaupun memerlukan jumlah kewangan besar, dasar kementerian adalah jelas iaitu SKM tidak akan ditutup sehinggalah atas persetujuan ibu bapa dan masyarakat," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang meminta kementerian menyatakan langkah jangka panjang dan pendek dalam pengurusan sekolah kurang murid di seluruh negara sekali gus mampu mengurangkan dan mengelakkan pembaziran perbelanjaan kerajaan.