SEMPORNA, 3 Sept (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban hari ini menyelar tindakan pihak tertentu yang menuduh kaum Bajau dan Suluk di negeri itu melindungi militan dari selatan Filipina atas dasar hubungan kekeluargaan.
Katanya dakwaan itu bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak wajar memandangkan kedua-dua kaum tersebut turut terlibat dalam berjuang dan mempertahankan kedaulatan negara.
"Logiknya, setiap perbuatan jahat ini tidak akan dilindungi walau kita sebangsa, kita satu agama,"katanya kepada pemberita selepas majlis korban Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bersama masyarakat Zon Simunul, di sini hari ini.
Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang memetik sumber perisikan bahawa anggota militan dari selatan Filipina lari ke negara ini dan dilindungi anggota keluarga keturunan Bajau dan Suluk yang telah lama menetap di Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata dakwaan itu turut menjatuhkan imej kedua-dua kaum tersebut kerana seolah-olah bersubahat dengan militan dari selatan Filipina.