Isnin, Ogos 28, 2017

VIDA DIDENDA RM4,800 KERANA SIARKAN IKLAN PAMOGA TANPA KELULUSAN LEMBAGA IKLAN UBAT

PETALING JAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyiarkan iklan produknya tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Majistret Mohd Azali Ibrahim turut memerintahkan Hasmiza, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda. Jutawan kosmetik itu yang kini terkenal dengan lagu "I Am Me" membayar denda itu.

Hasmiza didakwa menyiarkan iklan dalam rancangan "Jom Singgah" berhubung produk "Pamoga" untuk mempengaruhi pengguna sebagai ubat atau penyembuh bagi merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Wanita itu melakukan kesalahan berkenaan di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, di sini, antara 1 hingga 1.30 tengah hari, pada 18 Julai 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.....