Sabtu, Ogos 12, 2017
JANGAN POLITIKKAN PR1MA
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menasihatkan pihak pembangkang supaya tidak mempolitikkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan mengelirukan rakyat demi kepentingan politik masing-masing.
Menurutnya, program PR1MA diwujudkan untuk kebaikan rakyat, khususnya dalam membantu golongan M40 untuk memiliki rumah dan usaha sebegini patut disokong oleh semua pihak.
Menurutnya, merujuk kepada manifesto BN, PR1MA diberi mandat untuk membangunkan 500,000 unit rumah dalam masa lima tahun dimana kerja-kerja pembangunan ini kini berada dalam pelbagai peringkat. Manifesto tersebut tidak menyatakan bahawa rumah-rumah ini akan siap dibina dalam tempoh lima tahun.
"Membina rumah bukanlah satu tugas mudah kerana ia memerlukan perancangan rapi, melibatkan banyak proses dan prosedur, selain memerlukan jumlah pelaburan yang besar. Disebabkan inilah, PR1MA perlu menjalankan pelbagai kajian, terutamanya dari segi analisis permintaan, sebelum memulakan sesuatu projek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, proses untuk mendapatkan kelulusan juga tidak mudah kerana memerlukan penglibatan berterusan dengan pihak kerajaan negeri kerana kuasa untuk meluluskan sesuatu projek terletak di bawah pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Katanya, inisiatif program PR1MA adalah untuk membantu meringankan beban rakyat, iaitu golongan M40 yang tinggal di kawasan bandar dan separa bandar yang menghadapi tekanan kenaikkan kos sara hidup.
"Kerana itulah, PR1MA perlu melakukan tinjauan dan kajian menyeluruh sebelum memulakan sesuatu projek untuk memastikan semua projek PR1MA dapat memenuhi permintaan pasaran dalam kategori produk untuk golongan M40," katanya.
Shahidan berkata, sehingga ini, Ahli Perbadanan PR1MA meluluskan untuk memajukan 267,902 unit kediaman PR1MA di seluruh negara dan dari jumlah itu 139,393 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.
Katanya, setakat ini, 9,791 unit kediaman PR1MA dijual di seluruh negara, melibatkan nilai jualan RM2.36 bilion dan lebih dari 1.47 juta rakyat Malaysia mendaftar di seluruh negara dan dari jumlah itu 166,972 orang memohon kediaman PR1MA.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun-tahun pasca PRU13, PR1MA melalui pelbagai cabaran dan kepayahan sehingga ada cadangan projek yang terpaksa dibatalkan selain banyak lagi projek masih di peringkat analisis dan di dalam pertimbangan.
"Barisan Nasional berupaya untuk menjelaskan komitmen kami kearah memenuhi janji-janji digariskan dalam manisfesto dan saya menyeru pakatan pembangkang turut melihat sejauh mana pencapaian mereka dalam memenuhi janji-janji yang dibuat semasa PRU lalu," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menuntut BN menunaikan janji membina 500,000 rumah PR1MA sepertimana manifesto BN pada 2013.