Selasa, Ogos 22, 2017

AZMIN ALI MENGHITUNG HARI?


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyiasat dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta dipercayai oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dari Selangor kepada sebuah syarikat swasta.

Sehubungan itu, menurut sumber, SPRM telah menggeledah lima lokasi untuk mendapatkan maklumat dan dokumen bagi membantu siasatan.

Syarikat swasta itu dikatakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menurut sumber, menerusi maklumat awal yang diperoleh oleh SPRM, MBI dipercayai telah membayar wang terbabit kepada syarikat itu sedangkan kontrak syarikat tersebut telah ditamatkan oleh UNISEL pada 2012.

Sumber itu menambah kata MBI dipercayai telah membuat pembayaran kepada syarikat itu menerusi dua transaksi iaitu sebanyak RM10 juta pada tahun 2015 dan RM6 juta pada tahun 2016.

"Siasatan SPRM menjurus kepada punca pembayaran tersebut oleh MBI sedangkan syarikat itu telah gagal melaksanakan kontrak yang diberikan mengikut kontrak perjanjian pelaksanaan kerja-kerja di UNISEL sekitar tahun 2012," kata sumber itu.

Lima lokasi yang telah diserbu oleh pasukan siasatan SPRM adalah pejabat UNISEL di Shah Alam dan Bestari Jaya, pejabat syarikat itu di Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Bestari Jaya serta pejabat MBI di Seksyen 14, Shah Alam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penggeledahan tersebut dan berkata pasukan siasatan telah merampas sejumlah dokumen dari kesemua tempat terbabit.

Beliau berkata pasukan penyiasat telah pergi ke lokasi-lokasi berkenaan untuk mendapatkan dokumen-dokumen berhubung siasatan kes tersebut selepas SPRM menerima maklumat mengenainya.

Tambahnya, pasukan penyiasat akan menganalisis dokumen-dokumen berkenaan untuk membantu siasatan.

"Siasatan masih di peringkat awal dan kita (SPRM) akan mengumpul bukti-bukti dan maklumat yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

-- BERNAMA