Rabu, Ogos 30, 2017

261 ATLET NEGARA BERUSIA BAWAH 21 TAHUN ADA MASA DEPAN


KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Pencapaian cemerlang atlet negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan menjadi penanda aras untuk persediaan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata temasya sukan edisi ke-29 kali ini merupakan platform pertama bagi atlet muda membuktikan kemampuan mereka bagi dipilih untuk kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Selepas Sukan SEA ini, ada program-program tertentu untuk membantu mereka dalam meningkatkan prestasi masing-masing seperti Program Podium," katanya dalam sidang media mengenai rumusan prestasi kontinjen Malaysia pada KL2017 di Pusat Media Utama di MiTEC, di sini Rabu.

Menurut beliau, pencapaian di sini secara tidak lansung menunjukkan bahawa Malaysia tidak ketandusan atlet pelapis apabila 261 darripada 844 atlet negara berusia bawah 21 tahun.

Pencapaian Khairul Hafiz Jantan dan Grace Wong dalam sukan olahraga umpamanya, menunjukkan program-program pembangunan sukan yang dilaksanakan telah menunjukkan hasil positif.

Mengenai prestasi keseluruhan kontinjen negara pada temasya kali ini, Ahmad Shapawi berkata ia adalah pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di temasya dwitahunan itu dengan muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Sebanyak 18 rekod Sukan SEA berjaya dicipta oleh atlet negara menerusi memanah (lima), olahraga (empat), menembak (enam) dan renang (tiga) selain lapan rekod kebangsaan menerusi olahraga (enam) dan renang (satu).

"Semangat yang dipamerkan oleh atlet semasa menjadi tuan rumah ini amat berlainan. Kebanyakkan atlet lebih bersemangat dengan sokongan penyokong di gelanggang sendiri. Kombinasi atlet senior dan atlet pelapis telah menghasilkan kejayaan kepada kontinjen negara," katanya.

Untuk temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, Ahmad Shapawi berkata MSN perlu melihat kepada strategi terbaik dalam menilai kembali keberkesanan program pembangunan atlet secara keseluruhan dan juga komposisi jenis sukan yang akan dipertandingkan oleh tuan rumah temasya itu.

Sementara itu Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Marina Chin pula melahirkan rasa bangga dengan pencapaian kontinjen negara sebagai juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2001, juga di Kuala Lumpur.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen semua atlet dan juga jurulatih serta pegawai untuk menjayakan Sukan SEA kali ini. Ia merupakan satu perjalanan yang menarik kepada saya dan saya merasa sangat bertuah bekerja dengan kontinjen yang hebat ini," katanya.

-- BERNAMA