Isnin, Julai 10, 2017

SAMBUTAN HARI RAYA FELCRA PELUANG BERTEMU KAWAN KAWAN LAMA

KUALA LUMPUR:  Selepas meninggalkan FELCRA pada tahun 1986, ini adalah kali pertama saya menyambut majlis hari raya FELCRA di ibu pejabatnya di Wangsa Maju Seksyen 10. 31 tahun saya tidak menemui kawan kawan lama seperti Haji Jahare Abu Bakar, Noor Azmi Mohd Desa, Adnan, Haji Mohd Nor Talib.

Malah saya turut bersalam dengan bekas Ketua Pengarah (DG) FELCRA, Datuk Mustafa Juman yang kini berusia 71 tahun.  DG terkejut saya bersalam dengannya kerana saya selalu kutuk dia dalam grup wasap bekas pegawai FELCRA. Saya meletakkan jawatan sebagai pegawai tadbir FELCRA pada 1 Mei 1986 kerana "bergaduh" dengan beliau.

Pada 2 Mei 1985 saya ambil cuti kerana bapa saudara saya akad nikah di kampung. Pada hari yang sama Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, Datuk Seri Adib Adam melawat ibu pejabat FELCRA. Cuti saya diluluskan oleh Ketua Penolong Pengarah  (KPP)Tugas Tugas Khas, Haji Mohd Nor Ibrahim. Sebagai PRO saya sepatutnya ada di majlis tersebut tetapi oleh kerana bapa saudara saya kahwin maka saya terpaksa ambil cuti.

Mustafa yang dipanggil DG mengamuk kerana saya tiada di pejabat ketika menteri melawat pejabat. Terus dia tukarkan saya ke unit audit dalam masa 24 jam. Sepatutnya dia marahi KPP saya yang luluskan cuti. KPP saya senyap tidak membela saya.

Saya pun baru 26 tahun panas baran juga terus hantar surat letak jawatan dengan notis satu bulan kerana enggan ditukar ke unit audit. Tapi bekas boss saya, Pengarah Pembangunan Peneroka, Haji Mokhtar Harun pujuk saya tarik balik notis letak jawatan.

Apabila saya tarik balik, saya diberi pilihan oleh DG kekal di unit audit atau pindah ke pejabat Pengawal Wilayah Utara FELCRA di  Ipoh di bawah Haji Dahlan Abdul Ghani. Saya pilih bekerja di Ipoh jauh dari DG yang panas baran. Kalau pegawai buat silap, terus dia maki pegawai depan semua staf bawahan termasuk kerani dan jurutaip. Tapi orang panas baran seperti ini sekejap sahaja marah. Lepas itu dia cool.


Pada 31 Disember 1985, pejabat pengawal wilayah FELCRA dihapuskan. Maka saya bertugas di pejabat FELCRA Negeri Perak pula di bawah Haji Nordin Zainuddin. Di bawah Haji Nordin saya kurang seronok kerana dia serius tidak seperti Haji Dahlan yang garang tetapi kelakar. Pada masa yang sama saya sudah lulus peperiksaan am kerajaan dan boleh disahkan jawatan tetapi rupanya DG berdendam. DG tak sahkan jawatan saya sedangkan semua badge saya yang lapor diri pada 1 November 1983 disahkan jawatan seperti Haji Ahmad Shaari, Haji Jahare Abu Bakar, Misran Tamam dan Noor Azmi Mohd Desa.

Nampaknya saya sudah tiada masa depan dalam FELCRA. Maka saya buat keputusan untuk letak jawatan pada 1 Mei 1986 dan balik Kemaman mengganggur. Setahun kemudian baru saya diterima menjadi wartawan akhbar Watan di Kuala Lumpur selepas menjadi guru sementara selama tiga bulan di Sekolah kebangsaan Kg Baru Neram yang mana ketika itu Norzilam pegawai kanan di BTN masih dalam darjah empat.

Sambutan hari raya FELCRA kali ini merapatkan semula saya dengan rakan rakan lama yang terpisah selama 31 tahun. Sudah tentu yang paling terkejut ialah DG yang saya sudah maafkannya. Terima kasih Misrom Matleham kawan lama di Watan yang mengundang saya ke majlis tersebut. kebetulan Pengerusi FELCRA, Datuk Bung Mokhtar pula kawan baik ketika saya bertugas dengan akhbar watan di Sabah. Saya sudah mengenalinya selama 28 tahun dan beliau tidak pernah berubah tetap ramah seperti dahulu.