Rabu, Mei 31, 2017

PENGUATKUASA JADI SASARAN PENGAMAL RASUAH

oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)

Apabila membicarakan tentang isu rasuah, kita tidak boleh lari dari membincangkan tentang pasukan penguat kuasa yang terlibat dengan jenayah ini.Tidak kiralah di mana kita berada, di bumi mana kita berpijak, golongan penguat kuasa akan terus menjadi sasarannya.

Dan baru-baru ini semasa berucap di hadapan 378 peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) , Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan, bahawa beliau tidak berasa malu untuk mengambil tindakan terhadap pasukan penguat kuasa yang terlibat dengan jenayah rasuah.

Menurut Ahmad Zahid, “Saya tidak kira apa jawatan dan di mana kedudukan dia (pegawai terlibat rasuah).Saya tidak rasa malu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat yang menjadi ‘pegar yang memakan padi’ atau menjadi ‘nila yang merosakkan susu sebelanga’.

Ahmad Zahid telah memilih majlis yang sesuai untuk mengingatkan kepada para peserta diploma ini yang semuanya dalam lingkungan yang muda dan boleh dikatakan masih hijau dalam dunia pekerjaan yang sebenar.

Perlu diingatkan juga bahawa Sejak 2014 hingga tahun lalu, SPRM telah menahan seramai 2,329 orang dan daripada jumlah tersebut 54 peratus membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah.Statistik ini menggambarkan yang golongan muda, iaitu 40 tahun ke bawah sudah pandai menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan keuntungan yang akhirnya menggadai maruah diri,agama bangsa dan negara.

Ketegasan yang disuarakan oleh Ahmad Zahid perlu diberikan perhatian yang serius. Dalam hal ini, tumpuan bukan sahaja perlu diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja ataupun Jabatan Imigresen, bahkan semua agensi yang mempunyai anggota penguat kuasa termasuk di kementerian dan juga di jabatan-jabatan.Tidak ada satu pun jabatan yang dikecualikan dan tidak ada kompromi dalam membanteras masalah ini.

Sememangnya isu rasuah bukanlah satu isu yang baru.Peperangan menentang jenayah rasuah sudah lama dijalankan dan jenayah ini juga sudah wujud sejak bermulanya peradaban manusia.



Kempen menentang rasuah perlu dilaksanakan di peringkat bangku sekolah lagi.Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dan apa yang penulis faham, usaha ini sudahpun dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan telah mendapat sambutan yang sangat positif dari kalangan pelajar.Usaha seperti ini perlu dipergiat dan diperluaskan lagi.

Bagi mereka yang masih mengamalkan jenayah rasuah ini perlulah segera bertaubat . Apa yang anda lakukan bukan sahaja telah menjual maruah diri tetapi juga mampu menghakis kepercayaan masyarakat di kalangan para penjawat awam. Bukan itu sahaja ,imej negara juga akan rosak dan tercemar di mata dunia. Dan bagi mereka yang tidak ada rasa bersalah melakukan rasuah, cuba cermin pada diri sendiri dan jawab dengan jujur. Sanggup kah anda, memberi makanan yang datang dari sumebr yang haram kepada isteri dan anak-anak yang mengharapkan rezki yang halal daripada kita?



Penulis pernah membaca di sebuah artikel yang membincangakn isu rasuah ini. Dalam artikel tersebut, rasuah dianggap seperti anai-anai yang boleh meruntuhkan bangunan yang kuat dan mantap. Dan jika tidak ditangani dengan betul dan dibiarkan terus berleluasa,maka penyakit yang mungkin bermula dengan kudis ini akan menjadi barah yang tidak dapat diselamatkan lagi.





Itu sebabnya ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu membuka mata dengan lebih besar dan mengawasi kewujudan elemen-elemen dan gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang hidup mewah ,dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperolehi. Namun adalah lebih menyedihkan jika ketua-ketua jabatan ini pula yang menjadi “boss” yang sebenar. Betullah bagai peribahasa yang juga dinyatakan oleh Ahmad Zahid, , Harapkan Pegar, pegar makan padi.