Rabu, Mei 17, 2017

JENTERA UMNO SUDAH BERSEDIA HADAPI PRU14

oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)




Laungan bersemangat Presiden UMNO,Datuk Seri Najib Tun Razak yang beliau akan membubarkan parlimen pada keesokan harinya semasa memulakan ucapan sempena perayaan ulangtahun UMNO yang ke 71, disambut dengan rasa yakin dan bersemangat oleh ahli-ahli UMNO yang berada di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei yang lalu.




Semboyan yang dibunyikan itu, bukan sekadar untuk menyedapkan hati para penyokong UMNO dan Barisan Nasional umumnya, tetapi membayangkan yang jentera UMNO sudah mula bersedia untuk bertarung mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang ini.




Kita tidak boleh menafikan yang sepanjang 71 tahun yang lampau, UMNO telah melalui pelbagai ujian yang getir dan berdepan dengan ranjau duri yang berbisa. Bahkan ada masanya nakhoda kapal UMNO yang mengemudi pelayaran terpaksa mengharungi ombak dan gelora yang boleh menenggelamkan kapal tersebut.




Segala yang dilalui ini semuanya merupakan satu pengalaman yang akan terus mematang dan mendewasakan UMNO.




Pada malam sambutan itu, Najib Tun Razak dalam ucapannya terus menegaskan lagi bahawa UMNO tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti yang berpaksikan Melayu, Islam dan bumiputera.Dan UMNO juga meletakkan asas perjuangan untuk rakyat.

“Kita berjuang bukan untuk ahli tetapi seluruh rakyat” Begitulah antara kata-kata Najib yang membuktikan bahawa UMNO bukanlah sebuah parti rasis dan akan terus relevan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pastinya dalamasa seminggu dua ini, akan ada lagi perayaan untuk meraikan ulangtahun UMNO yang ke 71. Tidak salah untuk meraikannya, tetapi apa yang lebih penting, ahli-ahli UMNO perlu jadikan perayaan itu sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.




Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pula menegaskan bahawa pengalaman yang dilalui itu banyak mengajar UMNO untuk kembali bangkit dan menyusun semula gerak kerjanya.

"Pemimpin datang dan pergi, pelbagai gelombang dan cabaran. Malah pernah dicabar dalam dan luar, pernah ditikam luar dan dalam. Tikaman belum lagi reda hingga sekarang walaupun jasa UMNO pada seseorang itu besar. Tetapi UMNO tetap parti yang kukuh dan akan kekal relevan untuk semua pihak," Begitulah antara kata-kata dan luahan Ahmad Zahid semasa ditemuramah oleh Bernama dalam temu bual sempena Hari UMNO ke-71 dalam program Ruang Bicara Khas, yang disiarkan baru-baru ini.




Itu sebabnya dalam keghairahan UMNO menyambut ulangtahun yang ke 71, pastikan juga ahli-ahli UMNO terus berpijak dan mempasakkan diri di bumi realiti. Pujian oleh mereka yang bergelar tukang kipas boleh membuatkan UMNO lalai dan akhirnya tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk menguat dan mengukuhkan parti. Inilah kelemahan yang mesti dijauhi kerana ianya boleh menjadi sebab kepada kegagalan UMNO.

Sebagaimana yang dijelaskan, pengalaman yang lalu adalah sebaik baik guru. Lihat sahaja apa yang berlaku pada PRU-12 dan juga PRU-13 sehinggakan gelaran Tsunami Politik terus menjadi igauan buruk bagi UMNO dan Barisan Nasional. Inilah masanya untuk UMNO dan Barisan Nasional umumnya menebus kembali kekecewaan yang dirasai pada dua PRU yang lalu.

Namun untuk melaksanakannya memerlukan komitmen yang sangat tinggi dan usaha yang kuat . UMNO di bawah kepimpinan Najib Tun Razak sentiasa bersedia untuk masuk gelanggang dan bertarung dan telah membuktikan tidak getar dengan sebarang cabaran. Apatah lagi semboyan perjuangan juga sudah dibunyikan.



Inilah masanya untuk UMNO membuktikan yang parti ini akan terus bangkit dan mengekalkan kecemerlangannya.