Jumaat, Mei 19, 2017

JADIKAH PAS UMNO BEKERJASAMA?




Oleh Shahbudin Haji Embun.

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,pelbagai artikel telah ditulis tentang isu kerjasama antara PAS dan UMNO. Adakah kerjsama yang dimaksudkan ini hanya sekadar terbatas dalam isu agama dan kes tertentu seperti dalam isu Rohingya yang mana Pas dan UMNO duduk di atas satu pentas memperjuangkan nasib Rohingya.

Atau adakah terdapat kemungkinan besar PAS dan UMNO akan menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal tiba tidak lama lagi. Mungkin hanya masa yang menentukan apakah jenis kerjasama yang akan terjalin nanti.

Dan apabila PAS telah mengistiharkan tidak lagi akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, maka keputusan ini juga telah membuka pintu spekulasi bahawa PAS akan berganding dengan UMNO.




Pada 4 hb Mei yang lalu kehadiran Presiden PAS ,Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis pelancaran tukun tiruan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menambahkan lagi kehangatan isu bahawa PAS dan UMNO sudah bersedia untuk berganding bahu sebagai satu pasukan dalam PRU 14 nanti.

Dan baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin tidak menolak kemungkinan PAS akan menjalin tahaluf siyasi dengan Umno pada masa akan datang.Katanya lagi “Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan Umno tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) yang telah menunjukkan minat,”

Semasa perayaan ulangtahun UMNO ke 71 yang baru lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak Najib juga telah menyatakan yang beliau berkongsi kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan kerjasama antara UMNO-PAS kini bersifat amalan politik matang.

Menurut Najib, meskipun ada perbezaan, ianya bukan satu penghalang. “Politik antara kita tidak berkelahi, sebaliknya politik utamakan kepentingan bersama.”Apa yang dinyatakan oleh Najib membuktikan juga bahawa UMNO sentiasa membuka pintu perbincangan dan perpaduan dengan PAS.




Dan walaupun Abdul Hadi juga telah memberikan respons yang positif, namun hakikatnya masih ramai para pemerhati politik menganggap PAS dan UMNO masih berteka teki dalam isu ini.

Jika ditakdirkan akan terjalinnya hubungan politik antara PAS dan UMNO, pihak manakah yang akan mendapat keuntungannya? Sebenarnya isu ini sudah lama dibincangkan dan secara umumnya, ramai yang mengambil pendekatan positif akan persoalan ini . Selain itu, ramai juga yang tidak sabar untuk melihat gabungan politik ini menjadi kenyataan. Namun semua persoalan ini bukannya sesuatu yang mudah untuk dijawab.

Itu sebabnya pendekatan rasional yang diambil oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dicontohi. Ahmad Zahid semasa berucap pada Program Himpunan Mesra Rakyat dan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Marang, telah menjelaskan yang UMNO menghormati setiap keputusan PAS.

Menurut Zahid ““Kita harus iktiraf keberadaan PAS dalam senario politik baharu, kita menghormati keputusan Majlis Syura Ulama PAS, malah kita hormati segala resolusi dan usul yang dibentangkan mereka. Kita hormati pendirian PAS, kita tak mahu campur soal dalaman parti mereka.”. Ahmad Zahid menjelaskan lagi, apa yang pasti UMNO akan terus bersama dengan PAS untuk memperjuangkan perundangan Islam dan menjadikan ia sebagai prinsip dan pendirian parti.

Mungkin hari ini, teka teki ini masih belum berjawab walaupun bayangan jawapannya sudah semakin jelas. Kita tunggu dan lihat.