Khamis, April 20, 2017

ZAHID IKHLAS CADANGKAN NAMA HISHAMUDDIN

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas bukan untuk mengambil alih tugas kementerian lain, sebaliknya melengkapi serta memperkukuhkan institusi kepimpinan dalam kerajaan dan parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan tanggungjawab yang diberikan kepada Hishammuddin adalah bagi meneruskan usaha serius kerajaan dalam menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa.

"Beliau (Hishammuddin) boleh melaksanakan dan membantu tugas-tugas bantu Perdana Menteri dan saya. Ini tidak bertujuan mengambil alih (tugas) di kementerian lain seperti Kementerian Luar. Tugas beliau adalah untuk mempertingkatkan dan melengkapkan peranan perdana menteri dan menteri-menteri lain.

"Pada dasarnya, Hishammuddin akan membantu perdana menteri dan saya untuk meneruskan usaha yang serius bagi menterjemahkan komitmen kerajaan Malaysia bagi menangani isu domestik dan luar negara, jika ada," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan di pejabatnya di Perdana Putra di sini, Rabu.

Ahmad Zahid berkata beliau yang mencadangkan nama Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.




"Cadangan itu dibuat oleh saya kepada perdana menteri tiga bulan lalu dan ketika itu Datuk Seri Hishammuddin tidak ada dalam mesyuarat. Ini adalah satu pancaran ikhlas saya secara peribadi dan rasmi kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana kami bertiga (termasuk Najib) pernah menjadi Menteri Pertahanan dan tahu banyak tugasan lain yang perlu dilakukan.

"Kalau perlu penyelesaian terhadap beberapa isu domestik atau luar negara yang berbangkit, dan ada kemungkinan perdana menteri atau saya kesibukan, saya akan minta Hishammuddin untuk mewakili kerajaan Malaysia, bukan mewakili kami secara peribadi, melakukan beberapa usaha bukan sahaja sekadar memperkukuhkan jalinan

Dalam perjumpaan selama 20 minit itu, Ahmad Zahid berkata beliau dan Hishammuddin membincangkan beberapa tugasan pada pertemuan berkenaan, antaranya untuk memperkukuh institusi kepemimpinan kerajaan dan parti, serta tugasan lain akan dibincangkan dari semasa ke semasa termasuk isu-isu di luar bidang tugas Kementerian Pertahanan.

Menolak spekulasi negatif yang dilontarkan beberapa pihak terhadap beliau dan Hishammuddin, Ahmad Zahid menegaskan beliau akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada Hishammuddin untuk melunaskan tanggungjawab baru beliau serta yakin dapat membantu Perdana Menteri untuk memperkukuhkan institusi kepimpinan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata kunjungan berkenaan membuktikan hubungan erat beliau dan Ahmad Zahid serta mengakui 'cukup selesa' untuk bekerja bersama di bawah portfolio baharunya.

"Kunjungan ini adalah mengikut adat dan penghormatan saya kepada Timbalan Perdana Menteri. Ini penting untuk menunjukkan kepada orang ramai hubungan erat yang dibina selama ini dapat memperkukuhkan lagi tugas-tugas tambahan yang diamanahkan kepada saya, dan juga membantu memikirkan parti dan agenda yang di peringkat kerajaan.

"Ini bukan retorik atau mainan. Saya secara ikhlas dan jujur menyatakan bahawa hubungan saya dan Zahid begitu selesa sangat dan saya tidak sabar-sabar untuk bekerja dengan beliau di bawah portfolio baru saya," katanya.

Menyentuh tugasnya untuk membantu Perdana Menteri memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Hishammuddin berkata beliau berperanan melengkapkan tugasan yang sudah sedia ada.

Ditanya mengenai peranan lain, Hishammuddin berkata: "Kita fokus kepada Sabah dulu. Nanti saya bincang dengan perdana menteri," katanya.

-- BERNAMA