Tepat jam 9 pagi kami mendaftar diri di Akademi Espek di Ulu Slim kira kira 18 km dari pekan Slim River. Ketibaan kami disambut oleh kakitangan Risda dan Espek. Cantik pemandangan pusat latihan Risda itu yang kini dikenali sebagai Akademi Espek.
Di sini bukan sahaja diadakan kursus untuk pegawai dan kakitangan Risda malah NGO pun boleh menyewa Akademi Espek untuk menjalankan pelbagai program.
Sewaktu pendaftaran, kami diberikan cenderamata berupa t shirt, air mineral dan roti dalam bag biru Estates Espek Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Espek. Selepas minum kami bergerak ke Ecotourism Espek yang terletak kira kira 3km dari Akademi Espek.
Kami diberikan bilik berbentuk kabin yang boleh memuatkan enam orang satu bilik dengan kadar harga RM120. Ini bermakna jika berkongsi enam orang, setiap orang bayar RM20 yang agak murah. Keunikan homestay ini adalah dalam bentuk kabin.
Sebelum solat jumaat kami sempat menaiki ATV yang merupakan pakej yang termasuk dalam penginapan di Ecotourism Espek. Pakej itu termasuk menaiki scrambler yang akan diadakan nanti.
Sebelah petang kami menaiki tram ke kaki Bukit Gelinting untuk mendaki bukit tersebut sejauh 6km mendaki lurah bukit selama 45 minit sebelum menyeberang Sungai Gelinting dan tiba di Lata Berembun setengah jam kemudian. Kami mandi di lata itu yang nyata ia boleh menjadi destinasi pelancongan yang popular nanti jika Ecotourism Espek dipromosi secara besar-besaran ke Eropah dan lain lain negara.
Saya teringat kepada kawan saya Nasir Haji Aziz yang mempromosi ecotourisme di Pasir Raja, Dungun, Terengganu yang membawa ribuan pelancong Eropah ke situ. Orang Eropah memang suka melihat bukit bukau dan gunung ganang yang kaya dengan flora dan fauna.
Lata Berembun yang terletak di Banjaran Titiwangsa jika ikut jalan balak sudah dekat dengan Raub, Pahang kira kira satu jam perjalanan.
Pengalaman mendaki Bukit Gelinting dan menyeberang Sungai Gelinting dengan tali satu pengalaman yang menarik walaupun saya terjatuh banyak kali. Maklum sahajalah saya peserta media yang paling tua berusia 58 tahun. Kami tiba di kabin kami pada jam 6.30 petang. Mujur petang itu tidak hujan kerana jika ia hujan pendakian kami akan lebih sulit lagi dengan tanah yang licin.
Pada sebelah malam kami diraikan oleh makan malam oleh Risda di Akademi Espek yang mana Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Encik Nasaruddin Malek dan CEO Espek, Haji Abd Aziz Haji Jaafar turut hadir melayan kami.
Pagi esoknya (semalam), kami berpeluang melawat kampung orang asli yang terletak kira kira 7km dari Ecotourism Espek. Sekali lagi kami menaiki tram. Kami menyampaikan bantuan berupa beras, gula dan lain lain keperluan asas kepada Tok Batin Sani a/l Yok Yen, 55 dari Pos Bersih dan Tok Batin Rozi a/l Gaharai,39 dari Pos Gesau di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih.
Kami sempat meninjau sebuah kampung orang asli di Pos Gesau yang mana kami beri cenderahati kepada kanak kanak dari suku Semai. Program pagi semalam berakhir dengan mengunjungi air panas di Ulu Slim. Majlis Daerah Tanjung Malim perlu memulihkan semula air panas ini jika mahu menarik kedatangan para pelancong. Kami masukkan 10 biji telur dalam plastik dan rendam dalam air panas tersebut selama 10 minit dan akhirnya 10 biji telur itu masak.
Kami balik ke kabin dan selepas makan tengah hari kami naik flying fox yang merupakan pengalaman pertama bagi Shamsul Hazli. Dia seronok naik flying fox dan dia ajak saya naik flying fox sekali lagi. Kami bertiga dengan jurugambar MH Online, Firdaus naik flying fox sebanyak dua kali seorang.
Jam 4 bermulalah majlis perasmian Ecotourisme Espek oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir ialah Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Pengerusi Espek, Senator Datuk Haji Mohd Salim Sharif; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Borhan Dollah, Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.
Seronok saya menemui dua orang kawan lama di majlis tersebut iaitu rakan sebilik di Universiti Malaya (1980-1983), Datuk Borhan Dollah dan rakan sekerja di akhbar Watan (1987), Datuk Khusairi Talib.
Majlis perasmian berakhir pada jam 6 petang dan hujan lebat tidak menghalang Datuk Seri Ismail Sabri merasmikan kabin Ekotourism Espek dan menikmati buah durian Slim River.
Kami bertolak balik ke Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang dan kenangan manis berada di Ekotourism Espek amat menyeronokkan. Terima kasih Risda terutamanya kepada Encik Adnin yang menjemput kami menyertai media tour ke Ecotourism Espek yang merupakan aktiviti pertama Risda dalam bidang ecotourism.