Ahad, April 09, 2017

KEPUTUSAN PAS BERTANDING 80 KERUSI KECEWAKAN PAKATAN HARAPAN

CYBERJAYA, 9 April (Bernama) -- PAS meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 dan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi tradisi DAP dan PKR.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bagaimanapun berkata angka dan kawasan baharu belum dimuktamadkan dan perincian itu masih dibuat oleh jentera pilihan raya sebelum keputusan dimuktamadkan oleh PAS pusat.

Beliau berkata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mensasarkan sembilan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang akan ditandingi iaitu Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Yang lain ialah Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di sini semalam.


Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nor Mohamad dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin.

Menurut Idris, kerusi Parlimen Segambut dan Batu masih dikaji untuk ditandingi oleh PAS.

Pada PRU13 lalu, PAS kalah hanya memperoleh 21 daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, PAS memenangi 85 daripada 237 kerusi yang ditandingi.

Dalam perkembangan lain, Idris menyelar pemimpin DAP dan PAN yang memahami matlamat sebenar Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1965 (RUU355) tetapi memberikan gambaran negatif mengenainya.

"Undang-undang ini tidak membabitkan orang bukan Islam seperti mana kewajipan berpuasa yang hanya melibatkan orang Islam pada bulan Ramadan.

"Gambaran tidak betul itu memberikan anggapan buruk dan PAS dilabelkan sebagai Taliban," katanya.

Ulasan saya keputusan PAS untuk bertanding 80 kerusi sudah tentu mengecewakan Pakatan Harapan (PH) yang mahu pertandingan satu lawan satu di antara BN dengan PH.

Nampaknya hasrat PH untuk menawan Putrajaya pada PRU akan datang tidak akan jadi kenyataan jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dapatkah BN menangguk di air yang keruh di saat saat perpecahan parti pembangkang ini. Keengganan DAP dan PAN menyokong RUU355 menyebabkan PAS sudah nekad tidak akan bersama PH. Sama samalah kita tunggu keputusan PRU nanti sama ada BN menang besar atau sebaliknya.