Selasa, Mac 07, 2017
DR FATHUL BARI SEDIA ATUR PERTEMUAN SITI KASSIM DENGAN DR ZAKIR NAIK
KUALA LUMPUR 6 Mac – Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya bersedia untuk mengaturkan pertemuan antara peguam, Siti Kassim dan Dr. Zakir Naik bagi mengelakkan lebih banyak fitnah ditaburkan terhadap pendakwah antarabangsa itu.
Fathul Bari berkata, sebelum ini pihaknya telah memaklumkan pertemuan antara kedua-dua pihak itu boleh diaturkan dan Zakir sendiri sedia untuk bertemu dengan Siti.
“Berulang kali saya sebutkan dalam kenyataan bahawa saya boleh aturkan pertemuan antara auntie (Siti) dan Dr. Zakir. Pertemuan bukan perdebatan.
“Cuma setelah bertemu, terpulanglah kepada auntie sama ada ingin berdialog, bertanya soalan atau berdebat,” katanya di laman Facebook hari ini.
Baru-baru ini, 19 aktivis termasuk Siti berusaha untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan Zakir yang juga Presiden Islamic Research Foundation (IRF) sebagai mengancam keselamatan negara.
Siti sebelum ini menolak pelawaan untuk bersemuka dengan Zakir kerana memberi alasan perkara itu membuang masanya.
Menurut Fathul Bari, tohmahan yang dilemparkan kepada Zakir tanpa sebarang pertemuan diadakan oleh aktivis tersebut adalah tidak adil dan menyalahi prinsip hak asasi manusia yang diperjuangkan Siti.
Malah katanya, isu penghinaan terhadap mahkamah (subjudis) yang dikatakan oleh Siti juga tidak timbul jika pertemuan antara kedua-dua pihak terbabit dilakukan.
“Subjudis punya isu, apa hubung kait saman auntie terhadap kerajaan dengan pertemuan Dr. Zakir serta implikasi undang-undang?
“Saya berpendapat tiada isu, bahkan jika pertemuan dilaksanakan dengan berhemah serta harmoni, insya-Allah kebaikannya lebih besar,” katanya.