Ahad, Januari 15, 2017
RAIS MAHU NAJIB BERBAIK SEMULA DENGAN MAHATHIR
JELEBU 14 Jan. – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim semalam melahirkan harapan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbaik semula dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Rais Yatim
Menurut beliau, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kedua-dua pemimpin tersebut untuk menjalinkan hubungan silaturahim.
“Saya ingin melihat mereka bersalaman, masih bertanya khabar walaupun seorang berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan seorang lagi dalam UMNO. “Politik tidak boleh dijadikan penghalang atau perpecahan. Tak rugi kalau minum teh bersama, silaturahim itu yang penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pesta Menuai dan Mengoca Ikan 2017 di Kampung Gagu di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang, Datuk Yunus Rahmat.
Menurut Rais, krisis yang timbul ketika ini adalah disebabkan kegagalan bekas Perdana Menteri itu menghormati pemimpin yang kini diberi mandat untuk mentadbir negara.
“Apabila sudah tidak jadi pemimpin utama lagi, kita seharusnya menghormati pemimpin yang sedang berkuasa. Ini semua adalah soal budi, saya dapati nilai budi semakin terhakis sekarang ini malah ia tidak diajar di jabatan-jabatan kerajaan mahupun di sekolah,” katanya.