Rabu, Januari 18, 2017

HORMATI KENYATAAN SULTAN JOHOR

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Hormati kenyataan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelaburan dari China kerana ia berdasarkan fakta dan perkara asas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata kenyataan Sultan Johor itu menunjukkan kepentingan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini tanpa mengira negara mana kerana ia menjana ekonomi dan memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia.


Beliau berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu itu, seolah-olah akan menyebabkan negara kehilangan kedaulatan, adalah tidak tepat.

"Beliau (Dr Mahathir) menggunakan isu FDI ini sekadar untuk kepentingan politik semata-mata dan cuba menanam semangat kebencian kepada kaum-kaum tertentu," katanya kepada pemberita di sini Selasa, selepas menghadiri majlis memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) mengenai Maklumat dan Komunikasi antara Malaysia dan Jepun.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempat berbahasa Inggeris, Sultan Ibrahim dipetik membidas Dr Mahathir kerana memberi komen tentang projek pembangunan Forest City di Johor.

Sultan Johor bertitah bahawa Dr Mahathir telah melampaui batasan apabila memutarbelitkan isu Forest City dengan mendakwa kira-kira 700,000 rakyat dari Tanah Besar China akan terus tinggal di situ manakala banyak tanah telah dijual kepada rakyat China.

Salleh menjelaskan bahawa pelabur asing seperti Eropah, Jepun dan India juga melabur di Malaysia sejak dahulu, kenapa hanya pelabur dari China dibangkitkan kini.

Mengenai seorang pegawai tadbir diplomat (PTD) di Kedutaan Malaysia di Filipina yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur menghina kematian Ketua Menteri kelima Tan Sri Adenan Satem, Salleh berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membuat siasatan.

"MCMC telah menerima laporan. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan siasatan yang dilakukan. Jika didapati asas kukuh untuk tindakan sewajarnya, kita akan rujuk kepada Peguan Negara untuk mengambil tindakan," katanya.

Dilaporkan PTD tersebut digantung tugas serta-merta dan diarah pulang untuk siasatan lanjut berikutan kenyataannya dalam laman Facebook.

-- BERNAMA