(sudah disiarkan oleh Berita Harian)
Oleh Shahbudin Haji Embun
Benarlah bagai dikata orang. Pengalaman adalah sebaik baik guru. Segala pengalaman pahit manis perlu dijadikan iktibar dan pengajaran untuk berjaya dalam perjuangan. Mungkin itulah yang menjadi salah satu pegangan perjuangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan, terutamanya ketika hendak menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 dahulu.
Pengalaman ini dikongsi bersama dalam satu majlis Majlis Makan Malam Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 1996 bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.Saya berpeluang menghadiri majlis itu dan untuk pertama kalinya Zahid telah mendedahkan beberapa rahsia yang tidak diketahui ramai.Dan sambil menyampaikan ucapannya, Zahid sempat menjelaskan yang rahsia ini boleh ditulis.
Kira-kira 20 tahun yang lampau, bertarikh 9hb Oktober 1996, Zahid Hamidi telah menumpaskan empat calon yang lain untuk muncul sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang ke-11.Inilah juga pertama kalinya pertandingan jawatan merebut Ketua Pemuda menyaksikan pertarungan lima penjuru.
Ketika itu Zahid Hamidi dicop sebagai “orang kuat Anwar Ibrahim” dan ramai yang menganggap Anwar telah memberikan sokongan dan restunya kepada Zahid untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Hakikatnya, Zahid tidak disokong oleh mana-mana pemimpin UMNO yang berpengaruh ketika itu, termasuklah juga Presiden UMNO ketika itu, iaitu Tun Mahathir Mohamad.
Zahid turut menjelaskan yang Anwar meminta Zahid menarik diri dari pertandingan ketua pemuda untuk memberi laluan kepada Tan Sri Isa Samad yang sebelum itu tewas tipis kepada Tan Sri Rahim Thamby Chik pada pemilihan tahun 1993. Zahid yang dididik dari peringkat akar umbi pemuda Umno tidak begitu selesa dengan apa yang dicadangkan oleh Anwar. Zahid merasakan yang inilah masa yang sesuai untuk dia menabur bakti sebagai Ketua Pemuda Umno.
Zahid memberitahu Anwar, biarlah dia lakukan solat istiqarah untuk mendapatkan petunjuk tentang keputusan yang bakal dilakukan itu. Setelah setiap malam beristiqarah , beliau semakin yakin dan bersemangat untuk bertanding walaupun ada pihak yang masih tidak merestui keputusannya itu.
Pendedahan Zahid pada majlis makan malam itu dengan jelas membuktikan bahawa Zahid dipilih bukan disebabkan menumpang pengaruh populariti pemimpin seperti Anwar dan juga Mahathir.
Kedua-dua pemimpin ini tidak pernah merestui, menjaja atau memainkan sebarang peranan yang membuatkan Zahid menjadi Ketua Pemuda UMNO.Itu sebabnya adalah tidak sesuai sama sekali untuk melabelkan Zahid sebagai “orang Anwar” .
Kemenangan Zahid adalah disebabkan ketokohan kepimpinan yang ada pada dirinya sendiri. Zahid dilihat oleh Pemuda UMNOsebagai seorang bakal pemimpin yang memahami aspirasi perjuangan UMNO . Disebabkan itu pemuda UMNO ketika itu merasakan yang sudah sampai masanya jawatan ketua pemuda diberikan kepada pemimpin dari kalangan mereka sendiri, iaitu yang sama-sama berjuang dari peringkat akar umbi .
Dalam ertikata yang lain, keputusan pemuda jelas mahukan seorang ketua yang telah melalui proses perkilangan, pembelajaran dan perkaderan Pemuda UMNO, iaitu yang tahu selok belok serta rintangan dan cabaran yang perlu ditempuh semasa dalam pergerakan pemuda lagi.Dan semua elemen ini jelas ada pada diri Zahid .
Untuk membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang “cakap serupa bikin”, Zahid telah mengantikan biro-biro dalam pemuda UMNO dengan nama baru iaitu 'Majlis'. Beliau telah membentuk 22 majlis yang mana usaha ini merupakan sebahagian daripada proses untuk meramaikan penglibatan barisan Exco Pemuda UMNO.Usaha ini juga dilihat sebagai langkah Zahid yang mahu memantapkan lagi proses perkaderan agar semua pihak dalam Pemuda UMNO dapat membuktikan daya kepimpinan yang ada pada diri mereka.
Dalam majlis itu juga Zahid menjelaskan "Sebagai ketua pemuda selama 22 bulan walaupun tiada jawatan dalam kerajaan, tetapi saya dapat laksanakan 222 buah program pemuda di seluruh negara," Menurut Zahid lagi, dalam sejarah Ketua Pemuda UMNO hanya dia dan Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar sahaja yang tidak ada jawatan dalam kerajaan walaupun dipilih menjadi ketua Pemuda UMNO.
Banyak lagi yang diceritakan oleh Zahid pada malam itu. Namun apa yang penting, ucapan Zahid telah membuka mata dan hati kita semua bahawa kejayaan beliau bukannya kerana ditaja oleh pemimpin tertentu dan bukannya kerana menumpang kejayaan dan populariti orang lain.Mungkin banyak lagi pendedahan yang bakal dilakukan oleh Zahid. Bak kata Zahid pada malam itu, "Kalau saya tulis autobiografi saya, yang ini saya akan tulis,"Pastinya ramai yang akan ternanti-nanti buku autografi yang dimaksudkan oleh Zahid itu.