Jumaat, Disember 30, 2016

S.M.SALIM TIDAK DAPAT PANDANG PANDANG, JELING JELING LAGI

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- "Ku sangka aur di pinggir tebing, kiranya tebu di pinggir bibir, ku sangka jujur pancaran batin, rupanya palsu penghias zahir".

Bait lirik lagu 'Tak Seindah Wajah' dendangan penyanyi legenda tanah air, Allahyarham Tan Sri SM Salim pastinya akan menjadi kenang-kenangan selamanya, bukan sahaja buat para peminat malahan rakan-rakan artis juga.

Penyanyi dan komposer terkenal M. Nasir berkata Allahyarham serius dalam menjiwai setiap bait lirik lagu dalam nyanyiannya terutama lagu irama Melayu asli dan perkara itu menjadikan setiap lontaran suara emasnya menusuk kalbu para pendengar.

"Kita tidak akan dapat lagi pengganti seperti permata seni negara ini dan kami akan terkesan akan kehilangannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau yang pernah berkolaborasi bersama SM Salim menerusi lagu 'Seloka Cak Kun Cak' itu menyifatkan Allahyarham sangat periang dan merupakan kawan yang baik.

SM Salim meninggal dunia pada usia 88 tahun di kediamannya di Ukay Perdana akibat sakit tua pada 5.45 petang semalam selepas disahkan kritikal sejak awal pagi semalam.

Sementara itu, penyanyi tersohor negara Siti Nurhaliza Tarudin menerusi akaun Instagramnya '@ctdk', berkata kehilangan individu yang dianggap ayah kepadanya amat meninggalkan kesan dirinya serta industri muzik negara.

"Beliau seperti ayahanda yang banyak memberi nasihat dan contoh yang baik serta ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda seperti saya dan rakan2 artis yg lain," katanya yang pernah berduet bersama Allahyarham menerusi beberapa lagu antaranya 'Pandang-pandang, Jeling-jeling'.

Siti Nurhaliza berkata pengalaman bersamanya merupakan pengalaman yang tak dapat dilupakan kerana penyanyi itu memang seorang yang banyak memberi nasihat dan lawak jenaka serta rajin memberi didikan yang baik untuk dicontohi.

Beliau yang kini berada di Jakarta, Indonesia atas urusan kerja turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Bagi penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan pula berkata beliau pasti akan merindui ucapan hari lahir daripada Allahyarham kepadanya kerana mereka berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 30 Julai.

"Saya dan dia rapat sejak 32 tahun lepas. Peribadi Allahyarham yang merendah diri walaupun beliau berpengalaman lebih daripada artis lain tetapi beliau tidak lokek ilmu," katanya yang menjadi seorang artis yang menjayakan Konsert Khas Kenang Jasa Tan Sri SM Salim pada Februari lepas.

Katanya, semalam (28 Dis) merupakan kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham di kediamannya dan sempat berbisik sesuatu dan Allahyarham memberi respons dengan menggerakkan jari tangannya.

Sementara itu, wartawan dan penulis Tan Sri Johan Jaaffar pula berkata pembabitan Allahyarham dalam dunia seni tanah air yang melangkaui enam dekad itu merupakan bintang gemilang di langit seni hiburan bangsa.

"Jasanya memberikan nilai baharu pada lagu-lagu berirama asli, tradisional dan zapin amat dihargai. Beliau sama selesanya membawakan irama moden dengan gaya sendiri. SM Salim unik dan istimewa," katanya.

Presiden Persatuan Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata kegigihan SM Salim dalam memperjuangkan industri muzik tradisional telah meninggalkan batu asas kepada pelapis muda untuk menjadikan Allahyarham dan muziknya sebagai rujukan masa depan.

Katanya, generasi baharu harus mengambil contoh kegigihan Allahyarham dalam memperjuangkan seni budaya masyarakat Melayu supaya ia tidak ditelan zaman.

"Saya dan Persatuan Karyawan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia Hafiz Nafiah turut menzahirkan rasa sedih akan kehilangan seorang lagi legenda seni tanah air dan juga perintis lagu irama Malaysia yang sentiasa menghiburkan rakyat.

Sementara itu, media sosial seperti Instagram turut dibanjiri dengan ucapan takziah daripada netizen dan selebriti tempatan seperti Faizal Tahir, Erra Fazira dan Amar Baharin.

-- BERNAMA