Sabtu, Disember 10, 2016

MRT BEROPERASI MULAI 16 DISEMBER

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sejumlah 75 pegawai transit diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia memberi bantuan jika berlaku perkara tidak diingini untuk Fasa 1 perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) dari Sungai Buloh ke Semantan yang mula beroperasi pada 16 Dis.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman berkata apabila Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) dibuka sepenuhnya pada Julai 2017, sejumlah 31 pengurus stesen akan bertugas dengan dibantu oleh 257 Pegawai Stesen mengikut syif.

Beliau berkata 28 set tren telah diterima untuk beroperasi bagi Fasa 1 dan kesemua tren tersebut telah menjalani ujian statik di bengkel serta ujian di atas landasan.

"Ini untuk memastikan setiap tren beroperasi sejauh 21 km tanpa sebarang gangguan dan ia merupakan syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Beliau berkata empat set tren tanpa pemandu yang dibekalkan oleh Siemens direka khusus untuk beroperasi di bawah kondisi automasi sepenuhnya.

"Sistem tersebut tidak memerlukan bantuan manusia kerana semuanya diprogramkan melalui komputer.

"Bagaimanapun, jika berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diingini, pemandu perlu masuk ke dalam kabin dan mengambil alih kawalan demi memastikan operasi dalam keadaan selamat.

Prasarana akan memulakan operasi Fasa pertama 1 MRT dari Sungai Buloh ke Semantan pada 16 Dis membabitkan 12 stesen di Jajaran SBK meliputi jarak sejauh 21 kilometer.

Dalam pada itu, 19 stsen lagi dari KL Sentral (Stesen Muzium Negara) akan beroperasi pada Julai 2017 bagi fasa dua laluan penuh jajaran SBK sepanjang 51 km.

Zohari berkata selain menyediakan beberapa kemudahan "Park and Ride", Rapid Rail bersama MRT Corp akan menyediakan 112 bas pengangtara bagi perkhidmatan di 26 laluan bas untuk fasa pertama, merangkumi jarak sejauh 256.3 km.

"Tiga hingga lima buah bas akan beroperasi di setiap laluan dengan kekerapan setiap sepuluh minit. Bas tersebut dilengkapi tempat duduk yang selesa, mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan dipantau oleh kamera litar tertutup (CCTV).

"Setiap bas boleh memuatkan sehingga 62 penumpang dengan kadar tambang rata RM 1 setiap perjalanan tanpa had jarak," kata beliau.

Tambang tren untuk perjalanan selama 30 minit dari Sungai Buloh ke Semantan ditetapkan pada RM3.90 dan lebih murah bagi mereka yang menikmati pelbagai konsesi.

Semasa waktu puncak, penumpang tidak perlu menunggu selama lebih 3.3 minit untuk menaiki tren seterusnya dan di luar waktu puncak, kekerapan tren dikurangkan dari enam hingga lapan minit," kata beliau.

-- BERNAMA