Isnin, November 07, 2016

PATUHILAH KETUA KITA

Ketika merasmikan penutupan Pemukiman Penceramah KKMM di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam Sabtu lalu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Anuar Musa mengajak ahli-ahli Umno supaya mematuhi arahan ketua mereka.

Beliau yang juga Pengerusi MARA menceritakan bagaimana pada tahun 1997 beliau dipanggil oleh PM, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pejabatnya.

Dalam perjumpaan itu, Dr Mahathir membayangkan mahu melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

"I rasa dah sampai masanya orang Kelantan yang pimpin Umno Kelantan," kata Dr Mahathir. Mendengar kata-kata Dr Mahathir, Annuar yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar seronok kerana selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sudah tentu beliau yang akan naik pangkat.

"Apa pandangan u kita lantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang baru?" tanya Dr Mahathir.

Anuar yang terkejut terus sokong cadangan Dr Mahathir kerana bila boss cakap macam itu, itu sebenar bukan lagi minta pandangan tapi arahan boss kita.

Cerita Anuar secara bersahaja menyebabkan para peserta pemukiman ketawa.

Selepas PRU 1999, sekali lagi Dr Mahathir memanggil Anuar ke ofisnya.

"Nampaknya letak Ku Li pun, BN kalah, jadi kita lantik orang baru sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan," kata Dr Mahathir.

Anuar lega mendengar kata-kata Dr Mahathir kerana fikirnya kali ini giliran beliau pula jadi ketua Umno Kelantan.

"Apa pandangan u kita lantik Tok Pa sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno yang baru?" tanya Dr Mahathir. Sekali lagi Anuar yang terkejut dengan ucapan Dr Mahathir menyokong kenyataan itu kerana ia dianggap sebagai arahan dan bukan minta pandangan.

Sekali lagi Anuar terlepas jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Tapi katanya demi Umno kelantan, beliau terus menerima ketua baru walaupun Datuk Seri Mustafa Mohamad adalah pemimpin yang junior.

"Saya sudah jadi menteri Tok Pa masih setiausaha politik Tun Daim, Dari segi senioriti saya yang lebih layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan bukannya Tok Pa." katanya. Oleh kerana itu kehendak Presiden parti maka kita kena akur dengan arahan Presiden.

Sebab itu katanya dalam Umno, kita jangan pentingkan jawatan sambil disambut tepukan para hadirin.

Tambahnya lagi ketika melawat Kelantan, Dr Mahathir beritahu beliau supaya kumpul semua ketua bahagian sebelum Dr Mahathir balik ke Kuala Lumpur petang itu untuk adakan mesyuarat Perhubungan Umno kelantan di lapangan terbang.

Dalam mesyuarat tersebut, Dr Mahathir mengumumkan perlantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno yang baru menggantikan Anuar Musa.

Anuar terkejut tapi beliau sokong tindakan Presiden parti sebaliknya Datuk Ibrahim Ali selaku Ketua Umno bahagian Pasir Mas terus berucap tidak menyokong pengumuman Dr Mahathir.

"U pujuk Ibrahim Ali," kata Dr Mahathir kepada Anuar ketika beliau nak naik eksekutif jet balik ke Kuala Lumpur.

"Sepatutnya saya yang kena pujuk kerana saya dipecat jawatan timbalan pengerusi sebaliknya PM suruh saya pujuk Ibrahim Ali pula," kata beliau sambut disambut gelak ketawa.

Katanya, sebagai pemimpin Umno kita kena patuhi arahan ketua kita.

"Walaupun saya tiada jawatan tetapi saya tidak lari dari Umno. Saya sudah lama dipinggirkan dalam Umno kerana saya yang tidak sokong peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib dipercepatkan pada tahun 2003, tetapi saya tetap setia dalam Umno akhirnya saya kembali menjadi Ketua Penerangan Umno," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Ucapan Anuar Musa membakar semangat ahli-ahli Umno supaya mereka patuhi arahan ketua walaupun tindakan ketua menyinggung perasaan kita sendiri.

"Siapa yang tidak kecewa tak dapat jawatan yang diidamkan? Tetapi kita jangan pentingkan diri sendiri kerana individu tidak penting, yang penting adalah parti," katanya lagi sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.