Rabu, Oktober 12, 2016
TAK SALAH JADI PENASIHAT KATA ZAHIDI
Anggota Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan beliau tidak berbuat sesuatu yang salah dalam menerima jawatan penasihat dalam Parti Front Pulau Pinang (PFP) yang baru ditubuhkan walaupun tidak disenangi Umno Pulau Pinang.
Setakat yang diketahuinya, kata Zahidi, Pengerusi BN dan Presiden Umno yang merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak juga merupakan penasihat daripada Malaysia Makkal Sakti Party berteraskan Hindu dan "tidak ada masalahpun".
Najib telah melancarkan Makkal Sakti pada 10 Oktober 2009 dan berkata pada masa itu beliau akan bekerjasama dengan mana-mana pihak atau badan bukan kerajaan yang disokong slogan 1Malaysia.
"PFP adalah parti Cina dan mereka meminta nasihat saya untuk bertanding menentang DAP. Jadi saya berikan nasihat. Mereka tidak mengatakan mahu bertanding kerusi Umno, jadi itu baik bagi saya, "Zahidi.
"Umno tidak perlu bimbang kerana tidak ada kena mengena dengan Umno. MCA dan Gerakan juga boleh meminta nasihat saya selagi mereka anti-DAP, saya akan nasihati mereka," ujar beliau.
Zahidi berkata, tindakannya itu bukan 'tidak beretika mahupun tidak sesuai" dan tidak menjadi kesalahan buat Umno selagi menasihati ahli-ahli PFP sebagai kawan dan tidak menyertai parti tersebut.
Tambah beliau, pihaknya hanya menasihatkan PFP mengenai rancangannya untuk bertanding di 25 kerusi di Pulau Pinang menentang kerana parti itu baru dan tidak berpengalaman.
Lagipun, beliau berasal dari Pulau Pinang dan memenangi kerusi Parlimen Padang Besar untuk Umno dengan majoriti yang besar, jelasnya lagi.
Zahidi berkata demikian bagi mengulas bantahan oleh Ketua Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman terhadap PFP serta jawatan penasihat itu yang disandang Zahidi.