Isnin, Oktober 24, 2016

NADMA SABOTAJ TPM?


KEMAMAN 23 Okt. - Peristiwa yang berlaku pada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional di sini amat memalukan.

Adakah penganjur majlis, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sengaja sabotaj TPM? Nasib baik ia berlaku selepas majlis perasmian. Jika ia berlaku sebelum majlis perasmian, sudah tentu ia lebih memalukan TPM.

NADMA selaku penganjur kena bertanggungjawab sepenuhnya apa yang berlaku kepada TPM walaupun ia dianggap sebagai di luar jangka. Dah tahu musim hujan kenapa penganjur tidak membuang air yang bertakung di atas khemah? Air yang bertakung di atas khemah itu tiba tiba terjatuh ke atas TPM sehingga habis basah kuyup baju TPM. Ia sudah tentu memeranjatkan semua pihak apatah lagi body guard TPM yang menjaga keselamatan TPM.

Oleh itu pada masa akan datang pastikan sebelum majlis bermula, penganjur hendaklah membuang air yang bertakung di atas kanopi terlebih dahulu untuk mengelakkan peristiwa seperti ini berulang.

Yang peliknya NADMA telah melakukan dua kesilapan besar. Yang pertama memalukan TPM dan yang kedua memalukan MB Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman apabila kain rentang yang siap tidak ada gambar MB sebaliknya gambar TPM, gambar Shahidan Kassim dan Ahmad Shabery Cheek.

Setelah ditegur baru dibuat kain rentang baru, tetapi yang tergantung di tepi jalan masih gambar TPM, Shahidan dan Ahmad Shabery tanpa gambar Razif seolah olah NADMA tidak menghormati MB Terengganu.

Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak termasuk rakyat menjadikan kesiapsiagaan menghadapi bencana sebagai satu budaya serta ‘darah daging’ bagi memastikan amalan itu berterusan untuk manfaat bersama.


Timbalan Perdana Menteri ber­kata, koordinasi pelbagai pihak termasuk peringkat kementerian, jabatan atau agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela dan masyarakat dalam mendepani masa kritikal akibat bencana.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Ben­cana negara memberitahu, ber­tepatan dengan pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional di sini hari ini, ia diharap memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai betapa pentingnya persiapan seumpama itu dijadikan satu budaya dalam kehidupan.

“Kita lakukan usaha ini (kesiapsiagaan) menjadi satu budaya, ertinya kita harus mendarah dagingkan mereka yang sering jadi mangsa banjir atau bencana lain.

“Ini supaya kita tahu apabila ada maklumat dalam media secara automatik menjadi budaya agar keluarga yang menjadi mang­sa banjir cepat berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­nyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional 2016 di Kemaman Waterfront di sini semalam.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Insdustri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Exco Kerajaan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain pelbagai jabatan, agensi serta NGO berkenaan, penyelarasan kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana juga perlu membabitkan pertubuhan politik untuk sama-sama membantu mangsa bencana dengan lebih efektif.

Menurut Ahmad Zahid, sekiranya amalan kebersamaan itu dipraktik dan diteruskan, ia dapat membantu mengurangkan risiko bagi mereka yang ditimpa musibah itu.

Beliau juga menarik perhatian, pada masa ini kerajaan sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi kemungkinan berlaku bencana khususnya banjir di seluruh negara.

“Kita sudah siap sedia 100 peratus bagi menghadapi banjir dengan fokus diberi kepada negeri-negeri yang teruk dilanda banjir,” ujarnya sambil menambah bahawa kerajaan mempunyai peruntukan yang cukup untuk pembelian aset pengurusan bencana.

Beliau bagaimanapun me­ngakui, pada masa ini terdapat segelintir masyarakat khususnya yang sering terlibat dengan banjir masih kurang kesedaran dalam memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menghadapi bencana itu.