Sabtu, Oktober 15, 2016

MENGENANG ZAHID HAMIDI 20 TAHUN YANG LALU



PADA 9 Oktober - 20 tahun yang lalu - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (ketika itu Datuk Ahmad Zahid Hamidi) menumpaskan empat calon yang lain untuk muncul sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang ke-11. Beliau berusia 44 tahun ketika itu.

Ia adalah satu pertandingan yang sangat bersejarah kerana disifatkan sebagai yang paling sengit dalam pergerakan itu selepas Anwar Ibrahim menentang Datuk Suhaimi Kamaruddin pada tahun 1982.

Apatah lagi belum pernah pertandingan jawatan ketua menyaksikan pertarungan lima penjuru.

Penyandang jawatan ketika itu adalah Tan Sri Rahim Tamby Chik. Rahim menjadi ketua pemuda Umno yang ke-10 pada tahun 1993 yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara beliau dengan Tan Sri Isa Abdul Samad setelah Tan Sri Syed Hamid Albar menarik diri dua hari sebelum tarikh pertandingan.


Rahim memperolehi 264 undi manakala Isa 220 undi - menang dengan hanya kelebihan 44 undi walaupun Isa cuma memperolehi 10 pencalonan dari bahagian.

Bagaimanapun, kepimpinan Rahim tidak bertahan lama. Lebih kurang setahun selepas kemenangannya, beliau terpaksa melepaskan jawatannya ekoran isu peribadi serta dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Jawatannya itu dipangku oleh Naib Ketua Pemuda, Datuk Nazri Tan Sri Aziz. Selepas 14 bulan memangku jawatan ketua, Nazri akhirnya membuat kejutan dengan mengumumkan yang beliau berhasrat untuk menyerahkan kembali jawatan tersebut kepada Rahim selepas Jabatan Peguam Negara menegaskan tiada kes ke atas Rahim.

Majlis Tertinggi dalam mesyuaratnya pada 16 Januari 1996 membenarkan jawatan ketua pemuda disandang semula oleh Rahim.

Rahim yang kembali menerajui semula Pergerakan Pemuda Umno Malaysia selepas berehat panjang telah mengumumkan yang beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semula jawatan bagi pergerakan itu pada Oktober 1996.

Bagaimanapun ketika beliau membuat pengumuman tersebut, Ketua Penerangannya, Ahmad Zahid Hamidi telahpun membulatkan hati inilah masa yang sesuai beliau menawarkan khidmat dan kepimpinannya kepada Pemuda.

Tetapi Zahid bukan satu-satunya pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua sebaliknya, calon 1993, Isa Abdul Samad turut serta dalam gelanggang dengan kepercayaan sokongan padu yang diperolehinya pada 1993 membuka ruang kepadanya untuk menawarkan diri buat kali yang kedua.

Selain Isa, Datuk Seri Annuar Musa yang pada 1993 enggan dicalonkan untuk jawatan ketua setelah Isa, Syed Hamid dan Rahim menerima sokongan padu daripada bahagian-bahagian kali ini turut ingin mencuba nasib.

Pencabar kelima adalah seorang ahli biasa Umno yang bernama Abdul Rahman Salleh. Beliau kini telah meninggal dunia.

Oleh kerana pertandingan 1996 menjadi tahun pertama tiadanya pencalonan dibuat untuk mana-mana calon, serta arahan larangan berkempen oleh Majlis Tertinggi, umum pada asasnya sukar membuat andaian siapakah yang lebih berpengaruh dan kuat.



Bagaimanapun di peringkat bawah dan akar umbi, jentera masing-masing bergerak secara senyap dan tidak ketara namun aktif. Dengan Pemuda hanya diwakili oleh kurang lebih 500 perwakilan sahaja ke Perhimpunan Agung, pertemuan dengan dua perwakilan dari setiap bahagian tidaklah sesukar mana.

Dan untuk pertama kalinya dalam sejarah pertandingan Pemuda, kebanyakkan ketua Pemuda Bahagian 'tidak terdaya' untuk menentukan sama ada dua perwakilannya lagi akan mengundi mengikut kehendaknya.

Zaman ini adalah zaman telefon bimbit khususnya dari jenama Motorola baru memasuki era pengenalan dan menguasai pasaran. Menerusi telefon bimbit inilah kempen sebenarnya berjalan dan ketua Pemuda Bahagian 'sukar' mengawal pergerakan anak buahnya yang menjadi perwakilan kerana mereka boleh dihubungi di mana sahaja oleh wakil-wakil calon lain untuk 'bertanya khabar' dan 'memeriksa kecenderungan'.

Pada dasarnya memang tiada kempen tetapi ada 'panggilan mesra' antara perwakilan serta 'criss-crossing' untuk minum-minum kopi dan teh tarik bagi bertukar-tukar pandangan dan pendapat siapakah yang lebih layak dinobatkan sebagai ketua Pemuda Umno yang ke-11.

Semuanya layak belaka. Masing-masing mempunyai karisma dan bakat kepimpinan yang tersendiri. Bagaimanapun pada 9 Oktober 1996 iaitu hari Persidangan Pemuda, apabila keputusan diumumkan, Zahid muncul sebagai pemenang dengan memperolehi 199 undi, diikuti oleh Annuar yang mendapat 135 undi, Rahim (103), Isa (72) dan Rahman (1).

Untuk kerusi naib ketua pula, tokoh muda dan anak kepada bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang pertama Kapten Hussein Onn (1947-50) iaitu Datuk Hishammuddin Hussein muncul pemenang menewaskan Datuk Fatah Iskandar dari Selangor.

Kemenangan Zahid dilihat sebagai keputusan Pemuda untuk menyerahkan kembali jawatan ketua kepada pemimpin dari kalangan mereka sendiri. Dalam ertikata yang lain, Pemuda mahu mereka dipimpin oleh seseorang yang telah melalui proses perkilangan dan perkaderan Pemuda, memahami kehendak dan aspirasi mereka.



Ahmad Zahid (dua dari kanan) selaku Ketua Pemuda Umno mengiringi calon BN, Kamaruddin Mohd Nor (tengah) pada pilihan raya kecil DUN Pasir Putih pada 1997. Turut hadir Pengerusi BN Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Sepuluh hari selepas kemenangannya, Zahid telah membuat pembaharuan dengan mengantikan biro-biro dengan nama baru iaitu 'Majlis'. Beliau telah membentuk 22 majlis kesemuanya.

Tegas Zahid, penubuhan majlis itu merupakan sebahagian daripada proses meramaikan penglibatan barisan Exco menjadi pemimpin dengan memimpin potfolio mereka sendiri di samping melatih dan menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin masa depan dan membentuk pasukan jawatankuasa yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Pemuda dari peringkat bahagian.

Belum pernah dalam sejarah Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, setiap anggota exconya diberi potfolio yang tersendiri.

Zahid percaya, proses perkaderan Pemuda harus berteraskan kepada kepimpinan di semua peringkat dan ini hanya boleh dicapai dengan membuka peluang yang lebih luas kepada semua untuk membuktikan daya kepimpinan mereka.

Pemuda itu sendiri adalah 'kilang' melatih dan melahirkan pemimpin masa depan parti, beliau percaya.

Zahid juga telah melantik bekas setiausaha politik Syed Hamid Albar, Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penolong Setiausaha, Mokhzani Mahathir sebagai Penolong Bendahari, Datuk Fatah Iskandar, Ketua Penerangan yang baru dan Radin Mokhtar Yusof sebagai Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Lima anggota Exco tambahan yang dilantik ialah Nordin Md Noor (Pulau Pinang), Jamal Nasir Rasdi (Perak), Dr Abdul Rahim Md Ghouse (Pulau Pinang), Abdul Rahin Datuk Haji Mohd Said (Terengganu) dan Abdul Kadir Daud (Melaka).

Zahid turut memperkenalkan penubuhan Majlis Briged Putra yang akan mengadakan program menarik minat anak muda lepasan sekolah untuk menyertai kegiatan parti.



Berikut adalah sususan potfolio Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di bawah kepimpinan Zahid bagi tahun 1996-1999:

> Majlis Ehwal Antarabangsa: Datuk Hishamuddin Tun Hussein

> Majlis Perkhidmatan Penerangan: Datuk Fatah Iskandar

> Majlis Ehwal Agama: Ruslan Kassim

> Majlis Pendidikan: Mohd Khaled Nordin

> Majlis Sukan: Jema Khan Datuk Majid

> Majlis Ehwal Pengguna: Abdul Aziz Sheikh Fadzil

> Majlis Tindakan Sosial: Soohaimi A. Rahman

> Majlis Perumahan Rakyat: Mohamad Supardi Mohd Nor

> Majlis Pembangunan Luar Bandar: Abdul Fatah Abdullah

> Majlis Pengurusan Latihan: Abdul Wahab Din

> Majlis Tindakan Alam Sekitar: Azizan Yaakob

> Majlis Perkhidmatan Setinggan: Abdul Azim Mohd Zabidi

> Majlis Sains dan Teknologi: Zein Isma Ismail

> Majlis Integrasi dan Perpaduan Nasional: Zulkifli Mohd Alwi

> Majlis Siswazah: Dr Zaiyadi Awang Noh

> Majlis Pembangunan Bandar: Nur Jazlan Mohamed

> Majlis Kebudayaan dan Kesenian: Samlih Juaisin

> Majlis Pembangunan Usahawan: Nordin Md Noor

> Majlis Ehwal Tenaga Kerja: Jamal Nasir Rasdi

> Majlis Ekonomi: Dr Abdul Rahim Md Ghouse

> Majlis Pembangunan Belia: Abdul Rahin Datuk Haji Mohd Said

> Majlis Briged Putra: Abdul Kadir Daud

Kini setelah berusia 62 tahun, Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri (sejak 28 Julai 2015) yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang politik termasuklah melalui proses perkaderan politik menerusi kilang Pemuda (sebagai Ketua Pemuda Bahagian - 1984, Ketua Penerangan - 1990-96 dan Ketua Pemuda Malaysia - 1996-99), Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh sejak 1995, ahli Majlis Tertinggi (2000-2007) dan sebagai Naib Presiden (2008-sekarang) serta menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti.

(dipetik dari http://www.mstar.com.my/kolumnis/2016/10/11/imbas-9-okt/ pada 11 Oktober 2016)