Isnin, September 05, 2016

MAHATHIR SUDAH TERDESAK KATA SALLEH

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di mahkamah hari ini sebagai tanda memberi sokongan kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan betapa terdesaknya keadaan yang sedang dihadapi bekas perdana menteri itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, perkara itu bukanlah sesuatu yang amat mengejutkan atau memeranjatkan.

"Inilah apa yang kita panggil kepentingan politik. Ia jelas menunjukkan betapa terdesaknya Mahathir," kata beliau dalam laman blognya sskeruak.blogspot.my.

Salleh berkata Mahathir tahu parti baharunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, tidak mampu
melangkah jauh secara bersendirian.

"Jadi, beliau perlu menumpang Pakatan Harapan, seperti kapal angkasa yang memerlukan sebuah roket. Sebab itulah Mahathir cuba membina jambatan dengan Anwar - untuk memikat hati Pakatan," katanya.

"Mahathir akhirnya mengaku beliau sebenarnya tidak memiliki kekuatan untuk menjadikan partinya berjaya. Beliau perlu tumpang atas Anwar dan Pakatan," kata Salleh.

Ini jelas beliau, dilakukan walaupun Mahathir dan Anwar saling mengata antara satu sama lain selama 18 tahun.

"Perbuatan Mahathir berjabat tangan dengan Anwar hari ini samalah seperti apa yang berlaku pada 1998, sehari sebelum Mahathir memusnahkan Anwar. Kucupan Mahathir adalah kucupan maut," katanya.

Mereka bertemu di Mahkamah Tinggi hari ini di mana Anwar mempunyai kes berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri. Anwar juga dipecat daripada UMNO.

Anwar kemudian dikenakan pertuduhan berkaitan rasuah dan meliwat. Beliau dihukum enam tahun penjara pada 1999 berhubung empat tuduhan rasuah.

Beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 setelah hampir enam tahun menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya terhadap sabitan kesalahan meliwat.

Kini, beliau menjalani hukuman penjara lima tahun bagi satu lagi sabitan kesalahan meliwat.

-- BERNAMA