Selasa, Julai 26, 2016

KREDIBILITI NAJIB TIDAK TERGUGAT


(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Oleh Shahbudin Haji Embun.


Mungkin disebabkan sifat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kelihatan tenang dan tidak tergugat langsung dengan serangan demi serangan yang dilakukan oleh pelbagai pihak berhubung isu 1MDB ,menyebabkan ramai yang kagum dengan cara beliau mengendalikan isu ini.


Bahkan jika dilihat dari awal lagi, Najib kelihatan begitu konsisten apabila diasak dengan pelbagai isu yang begitu jelas mempunyai agenda untuk menjatuhkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.


Diam diam ubi berisi dan itulah yang diamalkan oleh Najib dan bukannya seperti tin kosong yang hanya pandai buat bising sahaja, tetapi tidak memberi sebarang kebaikan dan faedah. Bagi Najib, tidak perlu untuk menjawab pelbagai dakwaan dan tohmahan ini.


Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap strategi yang diatur dapat memberikan kesejahteraan dan pembangunan kepada rakyat Malaysia.Kepimpinan Najib mahu memastikan isu-isu yang sengaja direka reka dan dibesar-besarkan ini tidak menganggu matlamat yang lebih utama .


Mungkin apa yang dilakukan oleh Najib ialah disebabkan pengalaman yang diperolehinya setelah lebih 40 tahun terlibat dalam dunia politik yang telah menjadikan beliau sebagai pemimpin yang matang dalam menghadapi pelbagai isu. Selama 40 tahun ini juga Najib telah melihat sepak terajang dalam permainan politik yang mana beliau sudah tahu selok belok tentang apa yang perlu dilakukan untuk terus berjuang.


Najib tidak pernah “melatah” dan mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan yang beliau merupakan Perdana Menteri dan pemimpin yang mampu menguruskan isu pentadbiran dan politik dengan terurus dan terancang. Tidak semua pemimpin yang boleh menerima serangan khasnya dari media asing dan masih mampu mentadbir negara dengan terus memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

Sungguhpun begitu, jangan dianggap air yang tenang tidak ada gelombangnya. Najib berupaya untuk ‘turun padang’ demi mempertahankan perjuangannya yang mahukan negara ini terus membangun dan rakyatnya pula menjalani kehidupan yang lebih baik. Inilah agenda utama Najib dan beliau akan melakukan apa sahaja untuk memastikan agenda ini tercapai.


Kita dapat lihat sendiri bagaimana semangatnya tidak pernah pudar, walaupun dikritik hebat oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang nampaknya sudah tidak menoleh ke belakang lagi untuk terus mengkritik Najib.Sekali lagi Najib kelihatan tenang dan kini rakyat dapat menilai sendiri agenda Mahathir yang kelihatan begitu peribadi dan tidak akan memberikan apa-apa faedah kepada rakyat Malaysia.


Setiap hari ada sahaja laungan dan tohmahan yang dilemparkan , tetapi bagi Najib, lebih baik dia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri daripada membuang masa menjawab setiap tohmahan yang tidak ada hujungnya.Setiap penjelasan yang diterangkan oleh Najib tidak diterima dan lebih baik Najib dan para menteri menggembeleng tenaga  untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.


Dengan berbekalkan semangat seperti ini, rakyat dapat melihat dengan jelas bagaimana Najib terus berdiri teguh dan tidak goyah walaupun ribut angin terus melanda.Apatah lagi Najib terus dibantu dan disokong bukan sahaja oleh orang kuatnya seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Hishamuddin Hussein, tetapi juga oleh majoriti rakyat Malaysia yang semakin yakin dengan kepimpinan Najib.


Mereka mahukan pemimpin yang cepat bertindak dan bukannya yang sanggup menggadaikan maruah dan kedaulatan negara semata-mata untuk mengejar populariti dan agenda peribadi.


Baru-baru ini Najib telah menyambut ulangtahun ke 63.Penulis tidak tahu apakah yang diminta oleh Najib. Namun penulis pasti yang Najib tidak akan sekali sekala tunduk kepada mana – mana serangan jahat yang cuba menjatuhkan beliau, tidak kira dari dalam negeri ataupun dari media asing yang tidak habis-habis cuba memburukkan nama beliau.


Najib tidak keseorangan dalam hal ini dan inilah masanya rakyat Malaysia bangkit dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin yang akan terus membawa Malaysia maju ke hadapan.


catatan gambar: penulis bersama  editor Utusan Malaysia, Zaini Hassan.