Ahad, Jun 12, 2016

MAHATHIR HINA AHLI UMNO YANG PERTAHANKANNYA DAHULU

Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dilihat sanggup menghina anggota UMNO, jelas terlupa bahawa mereka (pemimpin dan anggota UMNO) itulah yang banyak berkorban mempertahankannya semasa memegang jawatan presiden parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata ketika menjadi presiden, Dr Mahathir juga telah mengajar agar semua anggota UMNO setia kepada presiden parti.

Namun kini, kata Annuar, Dr Mahathir sanggup menyifatkan mereka yang tidak menyokong hasutannya menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai pemakan 'dedak'.

"Jangan hina 191 Ketua Bahagian (UMNO) sebagai makan dedak, kami ada bahagian untuk bina dan tentukan kuasa pemimpin negara ini," katanya kepada pemberita pada program buka puasa di Kampung Lempor di sini, hari Sabtu.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa penyokong Najib kini sebagai pemakan dedak semasa menyatakan sokongannya terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Abdul Shukur pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar hari ini.

"Katanya nak selamat UMNO, tapi kerjasama dengan DAP dan Amanah, Tun Mahathir letak UMNO dan PAS lebih rendah daripada DAP dan Amanah," katanya.

Annuar berkata Najib telah berjaya membawa banyak perubahan kepada Malaysia baik dari segi ekonomi dan lebih baik daripada apa yang telah Malaysia capai ketika Tun Mahathir menjadi perdana menteri.

"Pengiktirafan daripada Bank Dunia, Malaysia tangga ke-18 dari sudut kemudahan memulakan perniagaan, sebenarnya Najib berjaya membawa ekonomi, politik lebih baik daripada zaman Tun Mahathir," katanya.

Menurutnya, dari segi kebebasan, zaman Najib adalah lebih bebas dan telus berbanding zaman Mahathir yang di bawah kuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Pencegahan Rasuah.

Sementara di Sungai Besar, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyelar tindakan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai sanggup berbaik dengan pihak yang pernah mengutuk dan melemparkan pelbagai tohmahan terhadap kepimpinannya.

Katanya, Pakatan Harapan yang sebelum ini bermusuh dengan bekas perdana menteri itu sanggup menerima kepimpinan Dr Mahathir semata-mata untuk mencapai matlamat menumbangkan Najib.

Hamzah, yang juga Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mengulas tindakan Dr Mahathir yang membuat kemunculan di Sungai Besar hari ini bagi menyertai majlis khas anjuran Pakatan Harapan dan menyatakan sokongan terhadap calon Amanah, Azhar Abdul Shukur.

"Saya percaya banyak pengundi sedar dan menilai sendiri apa yang sedang dilakukan pembangkang dan Tun Mahathir," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri di sebuah pasar raya di sini.

Beliau berkata Dr Mahathir sudah lupa bahawa pembangkang pernah memberi pelbagai gelaran kepadanya termasuk 'Mahathir Firaun' dan kini beliau bersekongkol dengan barisan pembangkang.