Khamis, Jun 09, 2016
ANAK CALON BN KESAL KEMATIAN BAPA DIPOLITIKKAN
Anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad kesal apabila kematian bapanya dijadikan modal politik parti pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Anak kedua Wan Mohammad Khair-il Anuar, Wan Imar Izzat berkata, sebagai anak, sudah tentu kenyataan pembangkang itu mengguris perasaannya yang masih bersedih atas pemergian bapanya.
Katanya, dia terkilan kerana ketika dia dan ahli keluarganya mahu memulihkan semangat selepas kehilangan orang tersayang, tanpa disangka kematian bapanya dipolitikkan.
“Kami berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi. Sebelum hari penamaan calon lagi kami sekeluarga telah menerima pelbagai tohmahan dan cacian.
‘‘Diharap semua pihak dapat menghormati keluarga kami dan mendoakan kesejahteraan arwah papa,’’ katanya.
Wan Imar berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program MyVOC Jiwa Murni yang turut dihadiri adiknya, Wan Iskandar dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muam’mar Ghadafi Jamal Jamaluddin di Sekolah Kebangsaan Lempor di sini semalam.
Dalam majlis anjuran MBM itu, seramai sepuluh penerima terdiri dalam kalangan asnaf menerima bantuan kotak barang makanan mengandungi beras, gula, minyak dan kurma.
Kelmarin, sebuah portal berita memetik bekas Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dalam ceramahnya di sini sebagai berkata, dia tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, Allah memilih supaya PRK diadakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi Menteri Besar Perak, daripada Mac 2008 hingga Februari 2009,” katanya dipetik berkata menerusi laporan sebuah portal berita.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberitahu, calon BN dalam PRK di sini, Datin Mastura Mohd. Yazid sedih apabila kematian suaminya dijadikan bahan kempen oleh parti pembangkang.
“Mastura begitu sedih kerana perkataan-perkataan yang dikeluarkan (oleh pembangkang) terhadap arwah suaminya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.