Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon merupakan antara individu yang disebut-sebut sebagai calon pilihan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun ini.
Muslimin Yahaya
Muslimin Yahaya, 49, sebelum ini dikatakan bakal menggantikan Noriah yang berhasrat melepaskan jawatan Ahli Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Noriah sendiri difahamkan juga bersetuju Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Sungai Besar itu atau lebih mesra sebagai Cikgu Muslimin mengambil alih tempatnya nanti.
Pemilihan Muslimin juga dilihat sesuai memandangkan beliau amat memahami gerak kerja Noriah dan UMNO Bahagian Sungai Besar.
Nama-nama lain yang turut mendapat perhatian untuk dicalonkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos; Ketua Puteri UMNO Bahagian, Widia Wati Abuzar, dua Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Datuk Ishak Mat Arif dan Samad Wahab serta Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian, Mohd. Imran Tamrin.
Sementara itu, Muslimin ketika dihubungi Mingguan Malaysia enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
“Saya tiada komen. Saya tidak mahu ulas.
“Banyak media ada bertanya perkara ini tetapi saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri,” katanya di sini hari ini.
PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini selepas penyandangnya, Noriah terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, 5 Mei lalu.
Sementara itu di Kuala Kangsar, beberapa nama disebut-sebut layak dipertimbangkan untuk menjadi calon parti itu. Mereka ialah Ketua Cawangan UMNO Kampung Senawar Kuala Kangsar, Leftenan Kolonel (B) Aminudin Abdul Karim, pegawai perubatan Dr.Hashim Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman, bekas ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari dan balu Allahyarham Mohammad Khair-il Anuar, Datin Mastura Mohd. Yazid.
Bagaimanapun satu sumber memberitahu, berbanding calon-calon lain, Leftenan Kolonel (B) Aminudin dilihat calon paling sesuai memandangkan beliau dikatakan diterima oleh jentera parti.
“Keupayaan beliau menggerakkan jentera ketika menjadi Pengerusi Bilik Gerakan Parlimen Kuala Kangsar dalam pilihan raya umum lalu menjadi faktor penyumbang kejayaan BN di Parlimen tersebut,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi.
Pada masa sama, sumber itu menjelaskan, pemilihan Leftenan Kolonel (B) Aminudin juga dijangka mampu mengurangkan politiking dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian.
“Pengalaman ketika PRU lalu sudah menjadi bukti bagaimana beliau berupaya menyelaras semua jentera UMNO dan komponen BN,” kata sumber itu lagi.
Dari segi hubungan dengan masyarakat pula, kata sumber berkenaan, Leftenan Kolonel (B) Aminudin cukup dikenali kerana menjadi Ketua Penyelaras Bencana Banjir Parlimen Kuala Kangsar pada tahun lalu dan mempunyai latar belakang agama yang baik kerana menjadi imam surau di Kampung Senawar.
Turut mendapat perhatian ialah Ramly yang pernah menjadi ADUN Manong selama empat penggal. Pengalaman itu dikatakan mampu meraih sokongan pengundi di peringkat akar umbi.-