(sudah disiarkan dalam Berita Harian)
OLEH Shahbudin Haji Embun
Dalam permainan bolasepak, ada pasukan yang mengamalkan taktik bertahan dahulu sebelum melakukan serangan balas. Ini semua terpulang pada kebijaksaan pengurus pasukan bolasepak itu. Dan apabila pasukan lawan sudah ketandusan idea untuk terus menyerang, maka serangan balas yang dilakukan boleh memenangkan pasukan tersebut.
Begitulah lebih kurang scenario kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu tenang menghadapi pelbagai tohmahan dan kini mula melakukan serangan balas untuk menutup mulut para pengkritiknya yang sudah begitu terdesak untuk terus menyerang kepimpinan beliau walaupun sudah tidak ada isu untuk dilaungkan lagi.
Musuh yang menyerang tetap menggunakan isu yang sama, sedangkan setiap isu sudah diperjelaskan dengan terang dan nyata. Rakyat juga sudah semakin yakin bahawa kepimpinan Najib akan terus membawa Malaysia keluar dari segala kepompong masalah yang membelenggu negara dan rakyat amnya.Mantan Perdana Menteri Tun Mahahir Mohamad yang dianggap paling lantang bersuara juga seperti ketiadaan idea baru apabila setiap isu yang menjadi bahan serangannya dapat dipatahkan dengan begitu berkesan sekali.
Manakala kedudukan Ringgit yang mula mengukuh pada tahun ini dan mencapai tahap tertinggi 3.8650 berbanding dolar Amerika pada 14 April yang lalu telah mengukuhkan lagi kepimpinan Najib. Situasi terbaharu ini telah menjadikan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Ini merupakan peningkatan sebanyak 11 peratus yang dicatat sejak akhir 2015 dan sekaligus akan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan.
Pihak pembangkang yang telah lama berteriak, seolah-olah sudah hilang suara dan masih terkial-kial untuk mencari formula baru bagi melakukan serangan terhadap kepimpinan Najib.Dan tentunya ini telah merunsingkan pihak pembangkang yang nampaknya sukar untuk mencari taktik dan agenda baru dalam Pilihan Raya DUN Sarawak yang akan diadakan pada 7hb Mei 2016 nanti.
Pihak pembangkang tidak ada kesepakatan dan ini pastinya merupakan satu tamparan kepada kumpulan ini . Senario pertandingan tiga penjuru yang bakal kita saksikan juga membuktikan lagi kegagalan pihak pembangkang untuk sama-sama sepakat dan bergerak sebagai satu alternatif bagi rakyat Sarawak.Kehebatan DAP pula hanya bertumpu di kawasan Bandar dan ini belum cukup untuk meninggalkan pengaruh yang besar dalam pilihanraya DUN Sarawak nanti.Manakala PKR, Parti Amanah Negara dan PAS masih terkapai-kapai untuk meluaskan pengaruh mereka di Sarawak, walaupun PKR berjaya menguasai 3 kerusi DUN di Sarawak pada pilihan raya sebelum ini.
Bahkan Kajian Pusat Penyelidikan PAS mendapati Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan memperoleh kemenangan yang lebih besar pada Pilihan Raya DUN Sarawak kali ini. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi pernah menjelaskan kepimpinan Ketua Menteri,Tan Sri Adenan Satem yang baik dan disenangi ramai, akan menjadi faktor utama yang akan memberi kemenangan besar kepada kerajaan negeri hari ini. Adenan dilihat sebagai seorang ketua menteri yang “no nonsence” apabila berdepan dengan isu-isu yang sensetif seperti pembalakan haram dan rasuah di Sarawak.
Adenan sedar akan peranan yang dimainkan oleh kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Najib. Kini Sarawak turut merasai pelbagai kemajuan dan menikmati pembangunan yang konsisten. Bahkan Adenan pernah menjelaskan
Di antara enam perdana menteri Malaysia setakat ini, Najib merupakan yang paling prihatin dan komited terhadap kesejahteraan dan pembangunan negeri Sarawak.
Komitmen kepimpinan Najib untuk melihat Sarawak terus membangun dapat dibuktikan dengan penambahan peruntukan untuk pembangunan luar bandar di Sarawak sebanyak RM1.5 bilion dalam Bajet 2016, berbanding RM1.1 bilion pada Bajet 2015.
Keakraban hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak perlu dipertikaikan lagi dan pastinya ini akan memudahkan negeri Sarawak untuk mendapatkan lagi banyak bantuan dan peruntukan demi membangunkandan mensejahterakan lagi rakyat Bumi Kenyalang ini.
Sungguhpun kelebihan masih berpihak pada kerajaan yang memerintah, namun Pilihan Raya DUN Sarawak 2016 boleh dianggap sebagai satu ujian yang paling mencabar untuk Adenan.Namun melihatkan pada komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan Najib serta suntikan baru dari kepimpinan Adenan di Sarawak pastinya akan memberikan keyakinan kepada rakyat Sarawak untuk terus memberi mandat kepada kerajaan negeri hari ini untuk terus melaksanakan agenda pembaharuan dan transformasi yang akan terus membawa kemajuan kepada negeri Sarawak.